Showing posts with label manifesto PR Johor. Show all posts
Showing posts with label manifesto PR Johor. Show all posts

Tuesday, May 14, 2013

MCA terima Exco Johor kerana perintah Sultan?-Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menyalahkan Sultan Johor kerana terus melantik pemimpin MCA untuk menjadi Exco negeri Johor.

Soi Lek dalam kenyataannya berkata, MCA tidak memberikan sebarang rokomendasi agar Adun Pulai Sebatang dari MCA, Datuk Tee Siew Keong dilantik sebagai Exco.

"Perlantikan Tee sebagai Exco adalah decree (perintah) Sultan Johor yang berkuasa untuk berbuat demikian," kata Chua dalam kenyataannya.

MCA di bawah kepimpinan Chua sebelum ini membuat keputusan tidak akan menerima sabarang jawatan kerajaan jika pencapaian MCA lebih lemah berbanding sebelum ini.

Ia adalah resolusi MCA yang dibuat pada tahun 2011 dan 2012.

"Sultan mempunyai kuasa untuk melantik Menteri Besar dan Exco kerana keunikan Perlembagaan Negeri," kata Chua dalam kenyataannya.

Ekoran cadangan perlantikan ini, Chua berkata beliau telah meminta pandangan Perdana Menteri mengenainya dan Datuk Seri Najib telah menasihatkan beliau mendengar perintah sultan.

"Suka saya tekankan di sini, MCA akan mengekalkan keputusannya yang diluluskan dalam mesyuarat agung tahunan 2011 dan diluluskan lagi dalam mesyurat 2012, untuk menolak semua jawatan kerajaan.

"Jawatankuasa Pusat MCA akan membincangkan kes Tee dan dia mungkin menghadapi tindakan disiplin berikutan perlantikan sebagai Exco Johor," tambah Chua dalam kenyataannya.

sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/19250-mca-terima-exco-johor-kerana-perintah-sultan#.UZMGKbWnCSo

Monday, May 13, 2013

Adakah Umno Johor sokong Abdul Ghani dilantik sebagai senator?-Harakahdaily


NUSAJAYA: Bukan sahaja pemimpin Umno BN diam membisu terhadap cadangan Lim Kit Siang bahawa bekas Menteri Besar Johor empat penggal, Datuk Abdul Ghani Othman sepatutnya dianugerahkan dengan jawatan kanan kerajaan, tetapi seperti terdapat penolakan rasmi apabila Mubarak, pertubuhan bekas-bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional, mengisytiharkan mereka yang kalah dalam pilihan raya umum kali ini tidak sepatutnya dilantik menjadi senator atau menteri.

“Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Rahman sudah tentu merujuk kepada Ghani kerana saya secara khusus telah mencadangkan Ghani, selepas mempertimbangkan sumbangan dan pengalamannya di Johor, sepatutnya dilantik sebagai Senator dan dijadikan menteri, dan jawatan Kabinet yang sesuai untuknya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab dalam Unit Perancangan Ekonomi, menggantikan Nor Mohamad Yakcop,” kata Lim Kit Siang.

Kit Siang berkata, penolakan tersurat kepada cadangan menjadikan Abdul Ghani sebagai senator dan pelantikannya sebagai menteri telah mengesahkan apa yang disyaki selama ini bahawa beliau adalah mangsa perebutan kuasa di dalam Umno, terutamanya di Johor.

“Dan Ghani dipaksa untuk bertanding di Gelang Patah bagi menamatkan karier politiknya sekiranya beliau gagal, meminjam kata-kata Tun Mahathir, menjadikan gelang patah ‘kubur’ saya,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran PRU13 di Taman Puteri Utama, di sini petang tadi.

Bagi Kit Siang, pertempuran Gelang Patah tidak pernah menjadi pertempuran peribadi antara Abdul Ghani dan beliau memandangkan beliau telah secara terbuka mengakui sumbangannya untuk membangunkan dan memajukan Johor sepanjang 18 tahun menjadi Menteri Besar.

“Itulah sebabnya saya mencadangkan Ghani, walaupun beliau kalah di Gelang Patah, boleh terus berkhidmat untuk negara dengan melantiknya sebagai Senator dan Menteri, kerana pertempuran Gelang Patah tidak sepatutnya dianggap sebagai pertempuran kalah mati yang mana Ghani perlu menamatkan karier politiknya meskipun tewas di Gelang Patah,” ujarnya lagi.

Nampaknya, kata Kit Siang di dalam DAP dan Pakatan Rakyat lebih bersedia memperakui bakat tanpa mengira parti namun Umno BN tidak begitu.

Justeru, beliau tidak faham atau bersetuju dengan sikap bahawa Abdul Ghani sepatutnya diketepikan hanya kerana kekalahannya di Gelang Patah.

Beliau juga menyeru Umno Johor, semua bahagian dan cawangannya, termasuklah pemimpin Umno Johor, untuk mengisytiharkan apakah mereka menyokong Abdul Ghani untuk dilantik sebagai senator supaya boleh menjadi menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi.

“Beranikah MCA Johor memberikan sebarang pandangan tentang Ghani ini?” tanya beliau.

Friday, May 3, 2013

Hari ini rakyat lawan BN - Salahudin



KUALA LUMPUR: "Hari ni people vs Umno Barisan Nasional (BN)," demikian reaksi spontan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika diminta mengulas tentang "tsunami dari Johor" yang kini melanda seluruh negara.

"Hari ni sudah sudah sampai ke tahap yang tak pernah kita bayangkan sebelum ini.

"Hari ni bukan lagi Pakatan Rakyat mencabar cengkaman kuasa BN.

"Hari ni people vs Umno BN. Rakyat sendiri yang berlawan dengan Umno BN!" kata calon PAS bagi Parlimen Pulai itu.

Salahuddin berkata, ribuan rakyat yang hadir sehingga ada yang mencecah jumlah puluhan ribu membuktikan satu tahap semangat.

"Tahap semangat itulah yang menyatakan dengan jelas kepada kita bahawa apa yang berlaku kini adalah people vs Umno BN," katanya.

Ketika di tanya apakah yang menyebabkan beliau begitu bersyukur sepanjang kempen beliau, Salahuddin terus berkata: "Peningkatan sokongan pengundi Melayu yang tidak disangka-sangka setelah sokongan pengundi Cina menjadi gelombang raksaksa yang luar biasa hebat."

Beliau memberitahu, ramai orang kuat Umno di peringkat akar umbi di Pulai dan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya yang turut ditandinginya yang sebelum ini langsung tidak boleh didekati kini menjadi penyokong PAS malah ada yang menjadikan rumah mereka sebagai pusat operasi kempen PAS.

"Kita juga menerima sokongan dari penduduk-penduduk di kawasan setinggan. Malah banyak perkara tidak disangka yang berlaku yang kesemuanya saya sifatkan sebagai pertolongan Allah," kata beliau.

Salahuddin juga yakin kesedaran semakin ramai pengundi Melayu tidak boleh dibendung lagi oleh pelbagai risalah perkauman yang diedarkan bagi membantu BN menghadapi arus kebangkitan rakyat kini.

"Saya mengajak para pengundi Melayu supaya menyedari bahawa kita di dalam Pakatan hendak membebaskan mereka dari penipuan Umno yang hanya memperdayakan orang-orang Melayu dengan api perkauman, sentimen dan emosi," katanya.

PAS, kata Salahuddin, hendak membawa orang-orang Melayu kepada era baru di bawah Pakatan di mana peruntukan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia yang menjamin kedudukan orang-orang Melayu akan diolah untuk menggerakkan usaha pemantapan pendidikan besar-besaran yang berteraskan usaha meningkat dan mengukuhkan pegangan mereka kepada agama Islam.

"Kita hendak mengajak Melayu berpindah dari politik hasutan perkauman yang ditaja oleh Umno kepada politik membina kualiti bangsa Melayu berasaskan pendidikan dan keimanan kepada Allah.

"Kita mengemukakan janji yang realistik iaitu pemantapan pendidikan dan keimanan yang menjadi senjata terbaik orang-orang Melayu.

"Kita tidak janjikan ekuiti yang tidak pernah pun dapat dicapai, kita tidak janjikan angan-angan tidak kesampaian," tegas beliau.

sumber : http://bm.harakah.net.my/index.php/berita-utama/18951-hari-ini-rakyat-lawan-bn-salahudin

Wednesday, May 1, 2013

Persoalan-persoalan Mengenai PR dalam PRU 13-Hj Suhaimi Saad

DAP akan jadi PM sekiranya PR memerintah?

DAP anti Islam?

Siapa sebenarnya punca kekurangan kerusi Melayu di Parlimen?

http://www.youtube.com/watch?v=lWrvd604QeQ&sns=fb

p/s: dah tahu sila sebarkan kepada semua ya!!

Monday, April 22, 2013

Berada di kawasan tegar Umno Johor-Harakahdaily

Gambar: Suasana Penamaan Calon di Johor
Mengikuti perarakan penamaan calon PAS, Salahudin Ayub, untuk kawasan Parlimen Pulai, Johor dari Masjid Abu Bakar, Johor Bharu ke Dewan Jubli Intan, Sabtu lalu, menyaksikan suasana yang sangat luar biasa.

Salahudin bertanding melawan calon BN, Ahmad Jazlan.

Suasana di sekitar Johor Bahru hingga membawa ke Skudai dan Tampoi, malah hingga ke Gelang Patah, Pekan Nenas, berlainan dengan suasana pilihan raya di masa lalu di negeri ini, di mana dulunya bendera dan spanduk BN mendominasi semua kawasan.

Tetapi dalam PRU kali ini, Johor Bahru dan sekitarnya dilimpahi bendera PAS, PKR dan DAP. Kawasan Parlimen Pulai calon PAS bertanding dan di mana-mana orang bercakap secara terbuka mengenai Pakatan Rakyat dan calon dari komponan Pakatan. 

Saya tenggelam dalam kibaran bendera dan spanduk PAS dan DAP yang di bawa oleh beribu-ribu penyokong Pakatan Rakyat. Seorang penyokong PAS memberitahu saya, “Dulu nak cari seratus orang penyokong PAS mengarak calonnya pun begitu sukar di Johor Bahru ini, tetapi kali ini, lihatlah, ribuan yang datang.”

Penyokong Pakatan dari DAP berbaju merah begitu bersemangat sekali, beriringan dengan penyokong PAS dan PKR. Salahudin berbaju Melayu berwarna merah, diiringi isterinya dengan warna yang sama, tidak henti-hentinya bersalaman dengan orang ramai.

Ternyata bendera dan sepanduk PAS, DAP dan PKR mewarnai Bandaraya Johor Bahru dan tentunya memberi isyarat permulaan akan berakhirnya dominasi Umno/BN di negeri Johor selama lebih setengah abad. 

Orang Melayu di Johor Bahru, terutama di kampung Melayu yang tegar Umno, seperti Skudai, Majidee, Tampoi, Kempas, Air Molek dan lain-lain sudah berani bercakap mengenai PAS, DAP dan PKR, malah ada yang lebih berani mencacakkan bendera PAS di halaman rumah mereka.

Sama meriahnya sambutan orang Johor terhadap perarakan calon PKR, Gen (B), Tan Sri Md Hashim Hussein yang ditentang oleh Shahrir Abd Samad dari BN. Ribuah penyokong Pakatan, termasuk anak muda Melayu dan Cina ikut dalam perarakan itu, menambahkan lagi suasana bendera DAP, PAS dan PKR mendominasi bandaraya Johor Bharu.

“Ini pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara ini,” kata Salim Abd Samad, sorang penduduk Majidee, kawasan pekat Umno, Salim yang menyokong PAS setahu lalu itu menambah, “Kalau tidak, bendera dacing saja yang memenuhi Johor Bahru. Sekarang sudah ada perubahan, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi baru.” 

Sementara itu, selesai penamaan calon di Dewan Jubli Intan, Salahudin bersama penyokong pergi pula ke Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengan untuk menyerahkan borang pencalonannya untuk bertanding di Dun Nusa Jaya, pusat pentadbiraan kerajaan Johor. Lawannya Dr Zaini Abu Bakar.

Di sana Salahudin bertemu Lim Kit Siang (Calon DAP di Parlimen Gelang Patah) di tempat penamaan calon. Lawannya, calon BN, Abd Ghani Othman. Ribuan lagi penyokong Pakatan berhimpun di sana. Sekali lagi kelihatan bendera dan sepanduk PAS, DAP dan PKR mendominasi kawasan penamaan calon itu, sementara bendera dan spandok BN kelihatan ‘malu-malu’ muncul di sana sini. 

Yang menarik ialah, hadirin kaum Cina yang bersemangat. Ramai yang memakai topi berbentuk maskot DAP burung kenyalang bernama t-shirt ‘Ubah’. Ternyata, lima tahun selepas Pilihan Raya 2008, perubahan jelas sudah dirasakan di Johor.

Menurut penganalisis, pelbagai isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat sepanjang beberapa tahun lalu sudah boleh diterima oleh golongan muda dengan melihat kepada reaksi ribuan yang berhimpun di tempat letak kereta terbuka Sutera Mall. Mereka mendengar Kit Siang, pengerusi DAP negeri Dr Boo Chang Hau dan naib presiden PAS yang juga calon Dun Nusajaya, Salahuddin Ayub ketika keduanya berucap di ceramah umum di situ dua hari sebelum hari penamaan calon. 

Seorang relawan wanita muda di salah satu meja di bawah khemah putih di sana, Jenni Sin berkata, ramai kaum Cina Johor bekerja di Singapura dan berulang-alik setiap hari di Tambak Johor bukan kerana terpikat kepada republik itu, tetapi kerana boleh mendapat gaji yang lebih baik.

Pengundi Cina di Johor melihat Pakatan Rakyat mampu menyediakan kehidupan yang selesa bagi rakyat pelbagai bangsa di Johor.

Menurut penganalisis, Ibrahim Sufian dari Merdeka Center langkah DAP di Johor telah membangkitkan masyarakat Cina.

“Kit Siang bertanding di Gelang Patah dan mengetuai kempen DAP di Johor telah menyeronokkan komuniti Cina dan menunjukkan mereka serius untuk berkembang dan mendekati mereka,” kata Ibrahim.

“Kehadiran Kit Siang dalam meningkatkan sokongan Cina untuk Pakatan dan telah membantu merapatkan jurang untuk parti-parti pembangkang bagi mencapai matlamat mereka,” tambah beliau.

Ibrahim menambah Melayu di Johor tiada masalah bergaul dengan masyarakat Cina, akan tetapi sentimen perkauman telah dieksploitasi oleh mereka yang berkuasa untuk menimbulkan ketakutan.

Di kawasan Palimen Tanjung Piai, Johor, kawasan paling selatan Benua Asia, di mana terletak kampung saya dan juga kampung Salahudin Ayub, keadaan juga sangat menarik, di mana calon Parlimen dari DAP ialah seorang Melayu, Mahdzir Ibarhim, manakala calon BN, Wee Jeck Seng dari MCA. 

Pengundi Melayu di situ 52.11 peratus, Cina 46. 50 peratus, India 1.7 peratus dan lain-lain 0.32 peratus. Dua Dun di kawasan parlimen tersebut – Pekan Nenas dan Kukup, di mana adik Salahuddin Ayub, Ghazaly Ayub calon PAS di Dun Kukup menentang calon BN, Suhaimi Saleh. Sementara di Pekan Nenas, calon DAP, Yeo Tung Siong menentang calon BN, Wong You Fong. 

Inilah sebanyak sedikit gambaran awal, suasana PRU di beberapa kawasan di Johor, yang dulunya adalah kawasan tegar Umno/BN. Siapa tahu hati orang Johor boleh berubah dengan kehendak Allah.

sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/abdul-shukur-harun/18534-berada-di-kawasan-tegar-umno-johor

Kempen DAP Johor Bermula Dengan Sorakan Cina Untuk PAS-Nusajayakini


JOHOR BARU, 21 April — Pemimpin DAP Lim Kit Siang yang berumur 72 tahun itu diraikan seperti seorang bintang rock dengan ribuan orang bersorak dan meniupkan hon udara malam tadi pada hari pertama kempen di sini untuk Pilihan Raya 2013 bukanlah satu yang mengejutkan.
Apa yang menarik pada perhimpunan di sini untuk kerusi Parlimen Gelang Patah adalah hadirin yang majoritinya Cina memegang bendera PAS bersama-sama dengan dengan mereka yang membawa logo Roket DAP.
Dan Kit Siang berjaya menawan perasaan ribuan yang berhimpun di sini atau mungkin pengundi Cina seluruh negara di atas tanggapan ketakutan terhadap agenda Islam PAS.
“Mereka kata undi untuk DAP adalah undi untuk PAS. Apakah itu benar? Ya ia benar. Ini kerana undi untuk DAP adalah undi untuk PAS, PKR dan Pakatan Rakyat.
“Saya katakan di sini malam ini. Ini adalah pertempuran diantara masa lalu dan masa depan,” katanya disambut dengan sorakan bersemangat oleh orang ramai yang majoritinya Cina.
Barisan Nasional (BN) katanya, mewakili politik masa lalu, dan untuk menguatkan hujahnya, beliau mengejutkan dengan memuji lawannya penyandang Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.
“Ghani Othman adalah orang baik. Saya akui dia membawa pembangunan dan kemajuan. Akan tetapi, dia mewakili masa lalu.
“Beliau mewakili model pembangunan BN yang tercemar dengan rasuah, kronisme, penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan.”
PR, menurut Kit Siang mewakili masa depan dan Malaysia baru.
Akan tetapi semangat orang ramai malam tadi tidak terhad kepada Kit Siang.
Apabila Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang bertanding kedua-dua kerusi Parlimen Pulai dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya berucap sebelum itu, hadirin bersorak dan mengibarkan bendera PAS dan DAP.
“Kita membuat sejarah malam ini,” katanya.
“Orang Cina memakai baju PAS dan memegang bendera PAS. Ahli PAS juga memakai baju DAP.
“Jika Cina boleh pakai baju PAS maksudnya Umno boleh jatuh.”
Kerjasama diantara DAP yang sekular dan PAS yang Islamis selalunya menjadi isu rumit kepada masyarakat Cina, akan tetapi pemikiran sedia ada telah bertukar oleh kerana perkembangan sepanjang 48 jam lalu.
Selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) menimbulkan keraguan mengenai legitimasi pemegang jawatan DAP pada hari sebelum penamaan calon, parti sekular itu mempertimbangkan untuk menggunakan logo PAS bagi calon mereka.
Tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan DAP untuk terus menggunakan logo roket mereka di Hari Penamaan Calon semalam, dan tawaran oleh PAS bagi DAP meminjam logo mereka telah menjadikan kedua-dua parti semakin rapat.
Dan persepsi meluas dikalangan masyarakat Cina DAP menjadi mangsa telah membantu memecahkan kesangsian berlarutan mereka terhadap agenda Islam PAS.
Semangat kebersamaan terbaru diantara kedua-dua parti itu hadir walaupun MCA melancarkan serangan melalui pengiklanan secara besar-besaran untuk menyerang DAP yang dituduh menyokong agenda Islam PAS.
Masih samar-samar sama ada kempen MCA akan berkesan, akan tetapi kerjasama DAP-PAS dilihat tidak mengurangkan semangat ribuan masyarakat Cina yang berhimpun untuk Lim malam tadi.
Sorakan dan kegembiraan mendorong derma besar-besaran dengan lebih RM90,000 untuk jentera kempen parti.

Tuesday, April 16, 2013

Manifesto Rakyat Johor




1-10 meter padu air percuma bagi pengguna domestik kediaman.

2-Kurang cukai harta bagi hartanah kediaman kos rendah & sederhana.

3-Kurang kadar cukai tanah.

4-Skim Takaful warga Emas RM 2500 diberikan kepada waris warga emas yang meninggal dunia.

5-Tabung Pendidikan Anak Emas Johor RM 100 bagi setiap anak yang dilahirkan di Johor dan RM 1500 apabila berusia 18 tahun.

6-Bantuan RM 1000 untuk anak kelahiran Johor yang layak masuk IPT.

7-Mewujudkan 40 000 peluang pekerjaan dalam masa 2 tahun kepada warga Johor

8-Pelaksanaan gaji minimum RM 1100 sebulan untuk kakitangan kerajaan Negeri Johor.

9-Mewujudkan projek Ladang Sejahtera bagi mengatasi isu kemiskinan rakyat.

10-Menghapuskan kompaun letak kereta oleh PBT yang tertunggak.

11-Program Gerbang Perkahwinan Anak Muda Hadiah RM 1000 bagi setiap pasangan yang menyertai Majlis Perkahwinan Berkelompok untuk semua kaum.

12-WiFi percuma di bandar-bandar utama.

13-Menyediakan Tabung Anak Muda Sejahtera untuk program pembangunan belia niaga.

14-Melaksanakan polisi "Satu Keluarga Satu Rumah"

15-Mewujudkan Tabung Armalah bagi menyediakan bantuan modal pusingan bagi mereka memulakan perniagaan.

p/s : Orang Johor tak terliur ke dengan tawaran sebegini?


sumber : http://www.pasjohorbahru.com/isu.php?no=750

Monday, April 15, 2013

Air percuma antara tawaran PR kepada rakyat Johor

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat Johor kelmarin melancarkan manifesto antara lain menawarkan 10 meter padu air percuma kepada pengguna domestik negeri itu jika diberi mandat mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini.

Manifesto yang dimuatkan dalam buku setebal 24 muka surat itu juga turut menawarkan pengurangan cukai harta bagi kediaman kos rendah dan sederhana serta penurunan kadar cukai tanah.

Manifesto bertemakan Johor Maju dan Berkebajikan itu dilancarkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sebuah hotel di sini.

Turut hadir, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr. Mahfodz Mohamed, Pengerusi DAP Johor Dr. Boo Cheng Hau dan Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng.

Selain itu, turut ditawarkan Skim Takaful Warga Emas sebanyak RM2,500 dengan wang tersebut diberikan kepada waris warga emas yang meninggal dunia.

Bagi anak yang dilahirkan di Johor pula mereka akan diberikan bayaran RM100 dan apabila mencapai usia 18 tahun, mereka akan mendapat bayaran RM1,500.

Tawaran lain yang dikemukakan ialah bantuan RM1,000 untuk anak kelahiran Johor yang layak melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan menyediakan Tabung Anak Muda Sejahtera bagi program pembangunan belia niaga.

Pakatan juga komited untuk mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan dalam masa dua tahun kepada rakyat negeri ini termasuk mewujudkan projek Ladang Sejahtera.

Gaji minima RM1,100 sebulan untuk kakitangan kerajaan negeri juga akan diperkenalkan, serta menghapuskan kompaun letak kereta tertunggak serta perkhidmatan WiFi percuma di bandar utama.

Tempoh perkhidmatan jawatan Menteri Besar dua penggal akan diperkenalkan dengan mengutamakan aspek keadilan, integriti dan akauntabiliti.

Selain itu, polisi Satu Keluarga Satu Rumah, mewujudkan tabung untuk ibu tunggal dan ibu tinggal dengan menyediakan bantuan modal pusingan dan menawarkan RM1,000 bagi setiap pasangan yang menyertai majlis perkahwinan berkelompok bagi semua kaum.

sumber: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/18297-air-percuma-antara-tawaran-pr-kepada-rakyat-johor

P/s : Rakyat Johor perlu pandai memilih siapa yang mahu diundi. Jangan mengundi pihak yang konon-kononnya membela Melayu tetapi hakikatnya menyusahkan Melayu, Cina, India & semua rakyat Malaysia. Undilah PAS & PR.

Ini kalilah.