Tuesday, April 30, 2013

Undi Protes Kepada Calon BN Bakal Berlaku-Nusajayakini



PONTIAN – Calon BN Benut, Datuk Ir Hasni Mohammad bakal menghadapi laluan yang sukar untuk mempertahankan kerusinya kerana berdepan dengan undi protes daripada para penyokongnya sendiri.

Menurut Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Pontian, Bachok Welang, pihaknya berjaya mengesan sebilangan penyokong BN yang terdiri daripada anak muda mula beralih arah di beberapa Unit Peti Undi dalam DUN ini.

“Ada beberapa kawasan anak muda bertemu kami meminta poster dan bendera. Apabila ditanya mengapa, sedangkan mereka penyokong tegar BN. Mereka kata, telah ditipu dan calon BN jarang turun padang,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas majlis BBQ dan Tayangan Pacak di Pusat Rekreasi Tampok, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ustaz Mohd Faizul Hakim Ahmad, Ketua Pemuda PAS Pontian dan Firdaus Jaafar, Setiausaha Pemuda PAS Pontian.

Sementara itu, beliau menambah lagi, petanda sokongan kepada UMNO-BN semakin terhakis boleh dilihat kepada penganjuran program seumpama itu.

“Jika sebelum ini, PAS tidak pernah mengadakan sebarang program dalam kampung ini bagaimanapun malam ini, alhamdulillah ramai pengunjung terdiri daripada orang tempatan khasnya anak-anak muda. Ini menunjukkan PAS sudah tidak asing buat mereka,” katanya lagi.

Sunday, April 28, 2013

DAP Bantah Berita Harian, Bakar Api Perkauman-Nusajayakini


DAP membantah Berita Harian, akhbar kawalan UMNO-BN, yang menghasut orang Melayu supaya membenci DAP dan kaum-kaum lain di Malaysia. Fitnah yang mereka lemparkan semakin tidak masuk akal, malah menghina daya pemikiran orang Melayu.

Fitnah terbaru datang daripada Berita Harian edisi Ahad hari ini 28 April 2013 dalam satu komentar yang ditulis oleh seorang yang bernama Mahfar Ali. Tajuk rencana itu sahaja sudah menunjukkan sikap hipokrit dan pembohongan media kawalan UMNO-BN tersebut. Tajuk “Pertahan prinsip kesederhanaan, tolak ekstremisme” cuba berselindung di sebalik kebencian penulis kepada perpaduan antara kaum yang dianjurkan oleh DAP dan Pakatan Rakyat.

Dia menulis: “Apakah nanti demonstrasi jalanan dan gerakan LBGT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) yang menjadi budaya Barat, akan turut diterima di negara ini? Inilah kemelut dua parti diketuai pemimpin Melayu yang diperkudakan DAP – parti cauvinis Cina yang dasar pentadbirannya di Pulau Pinang dilihat lebih banyak menekan orang Melayu. Barangkali juga DAP menyertai pakatan pembangkang sebagai mainan politiknya untuk memecahbelahkan orang Melayu dan Islam.”

Berita Harian sebagai lidah UMNO cuba menggambarkan bahawa PKR dan PAS sebagai parti orang Melayu – kerana UMNO hanya faham politik yang berasaskan kaum semata-mata, ia tidak faham demokrasi, hak asasi, keadilan sosial. Dan kedua-dua parti itu dianggap oleh UMNO sebagai mudah diperalatkan oleh DAP.

Jelas Berita Harian buta sejarah dan enggan menerima hakikat kebenaran. DAP adalah parti politik yang sah yang menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan 1957. Ini bererti DAP menerima Perlembagaan yang mendaulatkan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa yang sama melindungi hak agama-agama lain untuk diamalkan secara bebas.

Hakikat ini termaktub dalam perlembagaan parti DAP yang meluhurkan Perlembagaan Persekutuan 1957 sebagai undang-undang teragung di negara kita. Malah, DAP sudah banyak kali dalam beberapa deklarasi mengulangi pendirian ini. Hanya manusia yang rasis sahaja yang buta kepada fakta ini.

Kedudukan istimewa Melayu yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan tidak pernah dipersoalkan oleh DAP. Malah, DAP dengan tegas mempertahankan apa-apa hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk agama Islam sebagai agama Persekutuan dan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan.

Jelas di sini DAP dan Pakatan Rakyat lah yang sebenarnya mempertahankan prinsip sederhana dan menolak ekstremisme, dan bukannya UMNO-BN yang rasis dan semakin kasar dan biadap dalam kempen mereka. Dengan itu, DAP dan Pakatan Rakyat menyeru rakyat supaya menolak politik kotor UMNO-BN.

Saya yakin rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu, yang benci dan marah dengan politik kotor UMNO-BN yang menabur fitnah dan bersifat perkauman sudah bersedia untuk membuat perubahan yang akan menamatkan era politik kotor keji dan benci.

Ubah! Ini kalilah!

Lim Kit Siang

Saturday, April 27, 2013

Koleksi gambar Ustaz Azhar di Presint 19, Putrajaya-Blogger


KOLEKSI GAMBAR PROGRAM BERSAMA USTAZ AZHAR IDRUS DAN CALON PAS/PR PARLIMEN P125 PUTRAJAYA, HUSAM MUSA DI PRESINT 19, PUTRAJAYA!!!



ACARA:-  PROGRAM BERSAMA USTAZ AZHAR IDRUS DAN CALON PAS/PR PARLIMEN P125 PUTRAJAYA, HUSAM MUSA

LOKASI:-  PADANG BOLA, LOJI PEMBERSIHAN KONSORTIUM ABASS, PRESINT 19, PUTRAJAYA.

TARIKH:-  27HB APRIL 2013 JAM 9.00 MALAM.

JUMLAH KEHADIRAN:-  TAK PANDAI NAK KIRA, MOHON BANTUAN DARI PAKAR MATEMATIK NEGARA, RAIS YATIM.

Biarkan saja rakaman gambar berbicara.... tidak perlu Omak Kau ulas panjang lebar.. Yang pasti UMNO gerenti semput tak boleh nak bernafas...Kini bolehlah UMNO diibaratkan seperti menggelupur minta nyawa dalam lumpur.


# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

sumber : 
http://omakkau.blogspot.com


**Rakyat Putrajaya mahukan perubahan. Rakyat Johor bagaimana?

Ada hantu di bilik itu-Harakahdaily



Masa kita kecil, ada cikgu ketika ingin melarang kita pergi ke sesuatu tempat, contohnya seperti 'Bilik khas' yang menyimpan pelbagai peralatan bahaya - mereka kadang-kala menggunakan pendekatan hantu.
"Ada hantu di bilik itu. Jangan pergi sana. Nanti hantu tangkap." - itu adalah kata-kata biasa yang digunakan cikgu dulu.

Sebenarnya hantu tiada. Cikgu cuma menggunakan helah - menanamkan ketakutan pada pelajar supaya mereka tak berani ceroboh tempat di bilik khas.

Prinsipnya - "Manusia bimbang pada perkara yang mereka tidak tahu."

Hantu mereka tidak kenal - maka takut.
Betul ke tak, itu persoalan kedua. Kerana apa yang penting, jangan terserempak dengan hantu. Walaupun sememangnya di sana tiada hantu.

Apabila kita menjadi dewasa... kita sedar dengan teknik cikgu menakutkan kita.

Di medan politik negara juga, perkara yang sama dengan berlaku, terutamanya di kalangan orang Melayu dan orang Cina.

Mereka yang berkuasa sekarang bimbang orang Melayu dan orang Cina akan masuk ke satu bilik khas - ialah "Bilik Perubahan."

Pelbagai cerita dicanangkan untuk menanamkan rasa takut pada orang Melayu.

Siapa yang dijadikan hantu? DAP dan PAS.

Di depan orang Cina, DAP ialah kuda PAS. Satu undi adalah untuk PAS berkuasa seterusnya kehidupan mereka akan terjejas.

Alhamdulilah orang Cina dah sedar siapa hantu sebenar. Bukan PAS mahupun DAP, tapi orang berkuasa yang menjerit hantu.

Di kalangan orang Melayu juga, perkara yang sama berlaku. Mereka ditakutkan dengan hantu-hantu bernama ‘Kekuasaan Orang Cina’, ‘Kehilangan kuasa orang Melayu’ dan ‘PAS ialah kuda DAP’.

Alhamdulilah orang Melayu muda yang berinternet kini tahu siapa hantu sebenar - bukan DAP dan PAS tapi orang yang menjerit hantu tersebut. Tapi ada sebilangan lagi yang tak sedar dan masih terkena "teknik cikgu menakutkan kita."

Sharelah kepada kawan-kawan yang memerlukannya supaya mereka mengenali hantu sebenar.

Senyum

Kenali Calon PAS Johor-Khairul Faizi Ahmad Kamil



Kenali Calon PAS Johor

Khairul Faizi Ahmad Kamil

DUN N.29 Mahkota

Jawatan:
-Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat
-YDP PAS Kawasan Kluang
-Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Johor
-Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Mahkota

80 % Pengundi Cina Benut Sokong PAS Dan Pakatan Rakyat-Nusajayakini


PONTIAN – Calon PAS Benut, Raden Sarobo Ponoh bakal memperolehi kira-kira 80% sokongan daripada kaum Tionghua bersandarkan penglibatannya yang aktif menyantuni masyarakat itu sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Anda pula bagaimana? Jom ubah !. Bertemu masyarakat cina di Pekan Benut, Rata-rata masyarakat cina mahukan perubahan. Ungkapan yang paling kerap mereka katakan ” ini kali kasi Ubah”. Ini Kalililah, Kita Ubah” kata Admin Facebook Mtd Pas Benut dalam satu kenyataan.

Sokongan masyakat Cina bukan sahaja bertumpu di kawasan-kawasan tertentu sahaja, malah ianya dilihat menjadi 'trend' di mana sahaja menjelang PRU-13 kali ini.

Menurut salah seorang penyokong Pakatan Rakyat daripada DAP yang hadir dalam siri ceramah kelompok di Pulai Perdana baru-baru ini, beliau yakin kebangkitan  sokongan daripada masyarakat cina akan memberi lonjakan kemengan kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Mengimbau kembali landskap politik PRU-12 pada tahun 2008 yang lalu, kesan sokongan yang diberikan oleh masyarakat cina ini telah menyebabkan Pakatan Rakyat mampu untuk mengambil alih 5 buah negeri. 

Gelang Perkauman Patah Di Gelang Patah-Nusajayakini



Laporan maharaja lawak ‘April Fool' yang lalu memberitakan khabar mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyeru rakyat Johor menjadikan pertandingan PRU13 kerusi Parlimen Gelang Patah sebagai kubur kerjaya politik tokoh veteran DAP Lim Kit Siang.

Malah ke tahap melampau, Dr Mahathir membakar api perkauman dengan menyatakan kemenangan Lim Kit Siang akan mengakibatkan perseteruan antara kaum.

Menteri besar kerajaan sementara Johor, Abdul Ghani Othman pula menambah rencah menjadi wira Melayu kununnya dengan berkata kemenangan Lim Kit Siang bakal menggugah keharmonian kaum di Johor.

Gelang Patah menjadi ‘kubur' Lim Kit Siang merupakan suatu saranan yang teramat munasabah untuk politik tahun 1983. Di zaman kebenaran paling muktamad hanya didapatkan daripada tiga saluran tivi warna, dengan imej wajah 'dewanya' tidak lain dan tidak bukan ialah Dr Mahathir Mohamad.

Tetapi pada tahun 2013 ini, di zaman pencerahan Internet, ia menampakkan sikap yang menggelabah. Kerana maklumat dan pengetahuan telah pun mematahkan gari ideologi, gelang perkauman yang merantai kita selama ini. Orang sudah tahu.

Cukup bedebah sekalian kita, manusia Melayu terutamanya, kerana puncanya telah pun tertulis pada tembok grafiti dalam babak filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani, terbit tahun 1986. Contengan di dinding kota bertulis, "Ke mana lesapnya RM 2.5 bilion duit Bank Bumiputera?"

Kita juga telah mendengar lagu dendangan penyanyi Ito, di tahun 1998 dengan judul Raggae Jalil Ibrahim, tentang "kezaliman di bumi tersayang, haruskah berdiam, kita biarkan."

Kita perlu memahami bagaimana politik-ekonomi Mahathirisme bekerja. Di sini, Mahathirisme bukanlah semata-mata seorang manusia tetapi idea dan fahaman seorang manusia yang telah menjadi sistem dalam jaringan kerja dan struktur organisasi kuasa serta budaya yang rumit.

Malah kini, struktur dan sistem organisasi kuasa itu sedang menemui jalan buntu dengan perebutan yang bertambah sengit, malah di kalangan sesama mereka sendiri.

Politik-ekonomi Mahathirisme bekerja dengan perkakas-perkakas institusi awam yang tidak demokratik, mengamalkan ekonomi kapitalisme semu - kroni monopoli, penuh rasuah dan pecah amanah, menipu pilihan raya, dengan rekod demokrasi dan pelanggaran hak asasi manusia yang buruk.

'The Banker Who Knew Too Much'

Kerana jika kita memahami Mahathirisme kita akan faham bahawa segala cakap-cakap tentang semangat Melayu/ Islam, hak istimewa orang Melayu/ Islam, kepentingan Melayu/ Islam, bumiputera, dasar ekonomi baru dan sebagainya itu hanyalah belit, ‘gormal', penipuan, gebang kosong yang hanya berjaya dilakukan pada era penguasaan media tivi.

April tahun lalu, saluran tivi AETN - Crime & Investigation, Asia menayangkan sebuah dokumentari berjudul "The Banker Who Knew Too Much."

Penerbitan dokumentari ini akan membawa kita memahami kepura-puraan Dr Mahathir dan mereka yang berpegang pada ideologi perkauman sempit yang kununnya berteraskan kebudayaan dan tata negara Melayu itu. Kununnya, didongengkan kekayaan negara perlu dimiliki hanya oleh orang-orang Melayu.

Filem dokumentari itu merungkai kes pembunuhan misteri akauntan muda, juruaudit Bank Bumiputera pada tahun 1983.

Jalil sebenarnya ditugaskan untuk mengaudit akaun anak syarikat Bank Bumiputera di Hong Kong, iaitu Bank Bumiputera Finance (BMF). Sewaktu di Hong Kong, Almarhum Jalil mendapati banyak keraguan terhadap cara BMF memberi pinjaman.

Beliau mendapati hampir kesemua pinjaman BMF disalurkan kepada syarikat-syarikat milik Carrian Group. Carrian Group pula dimiliki oleh George Tan, ahli perniagaan Hong Kong, etnik Cina, warga negara Singapura, kelahiran Malaysia.

Dalam dokumentari The Banker Who Knew Too Much itu kita didedahkan bahawa Carrian Group sebenarnya hanyalah rumah untuk merompak duit Bank Bumiputera. Kerana tanpa pinjaman Bank Bumiputera tidak mungkin ada Carrian Group dan George Tan.

(Untuk butiran lanjut kejadian kes pembunuhan itu, silakan menonton sendiri di YouTube)

Bank Bumiputera ditubuhkan pada tahun 1966 bermatlamatkan kununnya membantu orang-orang Melayu dan Bumiputera Malaysia.

Tetapi akhirnya Bank Bumiputera dibankrapkan kerana memberi pinjaman terhadap George Tan, dan nyawa seorang tokoh Melayu muda, Almarhum Jalil Ibrahim telah pun diragut oleh seorang ahli perniagaan Klang - yang tiada kaitan dengan Bank Bumiputera dan BMF - bernama Mark Foon Tan.

Bukan gila, tapi terkutuk

Malah seperti kes pembunuhan mendiang Altantuya, pembunuh yang disabitkan kesalahan juga tiada motif.

Lihatlah asas perkauman Mahathirisme. Ia hanya pada lidah menghasut dan lidah itu semakin kelu kerana perbuatan, perlakuan dan rekod sejarah menunjukkan sebaliknya.

Kerana hari ini, orang akan bertanya, jika benar Melayunya kenapa Almarhum Jalil, seorang Melayu dibunuh, kenapa diberi pinjaman yang banyak kepada syarikat Carrian Group, milik George Tan, seorang etnik Cina sehingga membankrapkan Bank Bumiputera, kunun milik Melayu itu?

Kebankrapan syarikat Carrian Group merupakan rekod bankrap paling besar, di Hong Kong sehingga ke hari ini, di Timur dan di Dunia pada waktu itu. Ia melibatkan kerugian bernilai lebih AS$1 bilion pada 1983.

Ya, pada waktu itu tahun 1983, tahun sebahagian besar umat Melayu masih percaya pada penipuan propaganda tivi dan menerimanya sebagai kebenaran. Sehinggakan imej propaganda terhadap Lim Kit Siang pada waktu itu jatuh ke tahap sentimen kebencian kaum.

Dimainkan momokan Cina kafir, pengikut komunis Chin Peng, si pemakan babi bermata sepet yang niatnya mahu merampas hak-hak orang Melayu dan akhirnya memerintah Malaysia menjadi negara komunis sama seperti di China.

Kini, di tahun 2013, apakah kita masih lagi percaya, bahawa golongan perompak Bank Bumiputera itulah yang akan menyelamatkan umat Melayu Malaysia, setelah terang jelas juga rekod-rekod pengkhianatan dan kemusnahan yang disebabkan golongan ini?

Sehingga saat ini, kerajaan Malaysia masih belum memulakan apa-apa siasatan dan pendakwaan terhadap pembunuhan Almarhum Jalil dan skandal BMF ini, setelah 30 tahun kes berlalu.

Umat Melayu, bertanyalah diri dengan jujur, adakah kita tetap akan berkata, Lim Kit Siang itu rasis perkauman walau beliau pernah memperjuangkan isu skandal kebangkrapan BMF dan pembunuhan Almarhum Jalil Ibrahim di Parlimen Malaysia?

Jika jawapannya masih lagi ya, makna kata kita bukan sahaja gila, malah terkutuk!


Wednesday, April 24, 2013

"Semangat Abah Sentiasa Bersama Saya" - Anis Afida (Nusajayakini)


KUALA LUMPUR: Pemergian seseorang yang disayangi di saat-saat dia diperlukan sebagai pendorong dan tempat bergantung khususnya buat calon Dun Penawar Anis Afida merupakan satu dugaan yang cukup berat.

Ketika calon anak muda PAS ini sedang rancak berkempen menjelang pilihan raya umum 5 Mei ini, Anis dikejutkan dengan pemergian ayahnya semalam kerana mengalami masalah buah pinggang.

"Anis Afida akan kembali dalam masa dua-tiga hari lagi dengan langkah yang lebih ampuh dan semangat lebih kental menggalas tanggungjawab dan amanah abah. Doakan abah dan kami sekeluarga kekal di atas jalanNya!

"Dia telah berkorban segala yang dia ada untuk perjuangan menegakkan keadilan di muka bumi Allah taala ini," ujar Anis melalui laman Facebooknya.

Bagi Anis, arwah bapanya adalah mentornya di mana beliau kini menyambung perjuangan ayahnya yang merupakan aktivis PAS sejak tahun 1986.

Bapa Anis, Mohd Azli Jufri yang juga bekas guru menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu, semalam dan selamat di kebumikan jam 9 pagi ini Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi.

Sementara itu Timbalan Pesruhjaya PAS Johor Mazlan Aliman merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Anis Afida.

Mazlan cukup mengenali Allahyarham bapa Afida sejak 1986 ketika itu Cikgu Azli bergiat aktif dalam Dewan Pemuda PAS Johor bermula ahli biasa sehinggalah dilantik sebagai exco.

"Arwah adalah aktivis parti yg sangat gigih dan berani, meskipun seorang penjawat awam. Jawatan terakhir yg masih disandangnya ialah Setiausaha PAS Kawasan Pengerang. Bakat kepimpinan arwah dan isterinya Wan Rohani Wan Ahmad, diwarisi oleh Anis," kata Mazlan ketika menghubungi.

Jeneral Bersara Mahu Tawan JB Dengan Taktik 'Bosnia'-Nusajayakini




Bekas ketua turus Angkatan Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein berkata beliau akan menggunakan strategi sama seperti ketika menangani perang saudara Bosnia-Herzegovina dalam usahanya untuk merampas kerusi parlimen Johor Bahru.

Beliau berdepan orang kuat BN Datuk Shahrir Abdul Samad di kerusi berkenaan.

"Saya tidak akan mendedahkannya (strategi) buat masa ini, tapi memadai jika dikatakan ia rancangan yang sama (di Bosnia) walaupun kita perlu menyesuaikan dengan keadaan di Johor Bahru.

"Saya ada ijazah sarjana dalam kajian peperangan dan kami mengkaji peperangan. Tentulah, sebagai seorang tentera saya akan menggunakannya di lapangan," kata Hashim dalam satu wawancara dengan KiniTV lewat petang semalam.

Monday, April 22, 2013

Sifat-Sifat Kemenangan Kepada Pembela Agama Allah-Tarbawi.my



Di dalam memperkatakan tentang era kegemilangan sejarah umat Islam, kita tidak boleh memisahkan diri untuk memperkatakan mengenai pendokong dan pembawa dakwah yang pertama, peribadi yang menjadi qudwah atau ikutan seluruh zaman Islam, iaitu Rasulullah S.A.W menjadi pelaksana yang pertama, unggul dan ulung serta penafsir yang sebenarnya mengenai Islam yang diwahyukan oleh Allah Taala. Dengan lain perkataan, diri Rasulullah S.A.W merupakan penerusan daripada dakwah yang dibawa oleh Para Nabi dan Rasul. Hakikat dan prinsip ini dinyatakan oleh Allah di dalam al Quran :

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.” – Surah al Nahl:36

Pengabdian seluruh dan seutuhnya kepada Allah. Pengabdian yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Kesemua Para Rasul membawa prinsip pengabdian ini. Di zaman kegemilangan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah S.A.W, Baginda telah melahirkan suatu generasi yang unggul dan pertama. 

Generasi Para Sahabat yang dilahirkan bukan sahaja berdasarkan kepada wahyu Allah, tetapi pelaksanaan perintah wahyu yang dikemukakan oleh Rasulullah S.A.W secara praktikal. Rasulullah S.A.W telah menerima wahyu yang pertama dalam keadaan gementar sehingga pulang ke rumah dan terus berselimut. Kemudian disusuli pula dengan wahyu yang kedua supaya bangkit bertindak dan beramal. Rasulullah S.A.W bukan sahaja menerima ilmu itu, tetapi ianya hendaklah disampaikan secara praktikal. 

Rasulullah S.A.W tidak diperintahkan hanya sekadar memperdengarkan ayat-ayat suci al Quran berhampiran Kaabah, tetapi ia bererti suatu bebanan tugas yang berat agar disampaikan peringatan daripada Allah. Suatu tugas yang diamanahkan untuk membetulkan kehidupan manusia dalam segala bidangnya.

Baginda Rasulullah S.A.W dapat melahirkan keunggulan peribadi generasi yang pertama. Generasi yang dibentuk dengan penghayatan Islam semurninya dan keimanan yang sesucinya. Generasi yang ditanamkan keyakinan yang sebenar untuk melaksanakan seluruh ajaran Islam dan menyampaikan Islam itu kepada manusia sejagat. Pembentukan itu sebagaimana yang ditekankan pada awal lagi, bukan sekadar suatu pengisian ilmu semata-mata atau sekadar maklumat dan beramal dari segi lahiriyyah sahaja, tetapi pembentukan yang melulusi beberapa siri ujian. Pembinaan menerusi tekanan-tekanan, penindasan dan ujian yang dilakukan oleh golongan jahiliyyah; golongan taghut yang pertama dihadapi oleh Rasulullah S.A.W.

Penerapan keimanan dan keyakinan ini dilalui oleh Rasulullah S.A.W bukan menerusi penyampaian ayat-ayat suci al Quran supaya generasi Islam yang pertama hanya bersabar dalam menempuh rintangan dan tekanan. Tetapi Rasulullah S.A.W sendiri yang pertama menghadapi ujian dan tekanan itu secara praktikal dan nyata. Ujian dan tekanan yang berterusan sama ada dalam bentuk fizikal ataupun kejiwaan. Baginda diuji dengan beberapa siri penyeksaan sepertimana yang sempat dirakamkan dalam lembaran sejarah. Baginda diuji dengan tawaran kemewahan, harta-benda dan pangkat.

Namun begitu, Rasulullah S.A.W menolak segala kepentingan duniawi dengan meletakkan kepentingan Islam lebih tinggi daripada segala-galanya. Ini jelas terukir mantap dalam catatan sirah ketika Baginda menolak cadang-cadangan yang dikemukakan oleh wakil Abu Jahal.

“Wahai anak saudaraku! Kedudukanmu dari kalangan kami seperti yang diketahui olehmu dalam ikatan kekeluargaan. Sesungguhnya kamu telah membawa kepada kami suatu perkara yang besar. Kamu telah memecah-belahkan perpaduan mereka, memperbodohkan impian mereka dan mencela nenek-moyang mereka. Dengarlah dariku agar aku kemukakan kepadamu beberapa perkara untuk memberi pandangan dan menerima sebahagian daripadanya!”

Rasulullah S.A.W menjawab, “Katakanlah, wahai Abu Walid (gelaran ‘Utbah) apa yang kamu ingin perkatakan!” 

Abul Walid mengemukakan cadangannya, “Wahai anak saudaraku (bahasa panggilan yang halus! Kalaulah apa yang kamu bawa ini kerana mahukan harta kekayaan, kami bersedia mengumpulkan untuk kamu harta- benda sehinggalah kamu menjadi orang yang paling berharta di kalangan kami. Kalau kerana mahukan kedudukan, kami bersedia, melantik kamu menjadi ketua kami sehinggalah kami tidak menandingi kamu. Jika sekiranya kamu mahu menjadi raja, kami bersedia menabalkan kamu menjadi raja kami.” (rujuk Sirah Ibnu Hisyam)

Lalu Rasulullah S.A.W bertanya, “Sudah habis pandangan daripada kamu?”

‘Utbah menjawab, “Ya!”

Seterusnya Rasulullah S.A.W bersabda dan membacakan;

 
“Ha, Mim (Allah Yang Maha Mengetahui akan maksudnya).”
  
“Turunnya Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.” 

“Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.”
  
“Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya, maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya).” 
“Dan mereka berkata; Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)” – Surah Fussilat:1-5

Rasulullah S.A.W meneruskan bacaannya. Tiba-tiba ‘Utbah tersandar ke belakang dengan bertongkatkan kedua-dua belah tangannya. Kemudian apabila sampai ayat sujud, Rasulullah S.A.W terus bersujud. Selanjutnya Rasulullah S.A.W bersabda, “Adakah kamu mendengar itu?”

Abul Walid lantas pulang dengan wajah yang berubah. Penolakan harta-benda yang ditawarkan, pangkat yang dijanjikan ini merupakan pelaksanaan secara praktikal yang diperlihatkan oleh Rasulullah S.A.W kepada sahabatnya. Penolakan yang menekankan tentang tujuan pelaksanaan Islam bukanlah sekadar untuk dilantik menjadi pemerintah tanpa menentukan apakah bentuk sistem yang akan dilaksanakan. Ataupun sekadar menerima kedudukan dan tempat dalam pimpinan tanpa menentukan apakah matlamat sistem yang hendak dilaksanakan.

Penolakan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W merupakan kenyataan yang jelas, yang ditaati dan diikuti oleh Para Sahabatnya secara praktikal. Generasi yang meletakkan kepentingan Islam yang bakal dilaksanakan oleh mereka di dalam Negara Islam dan Masyarakat Islam yang pertama lebih berharga daripada segala kepentingan duniawi ini. Kemudiannya ujian seterusnya menampilkan konspirasi ganas penekanan pihak kuffar dan ugutan-ugutan yang mengancam jiwa raga serta menyeksa tubuh badan. Sehingga penekanan itu memaksa orang-orang yang beriman untuk berhijrah meninggalkan kepentingan tanahair, keluarga, rumahtangga, pangkat dan segala-galanya.

Meskipun tidak dapat dinafikan bahawa urusan dan keperluan duniawi itu adalah penting, namun Islam menjadi prinsip kepada semua itu hendaklah dipentingkan dari segalanya. Kita tidak juga dapat menafikan bahawa tanahair, keluarga dan harta-benda adalah menjadi suatu keperluan dalam perjuangan untuk menegakkan Islam dan membentuk generasi Islam. Tetapi Islam adalah lebih utama dan mesti terlaksana.

Setelah keyakinan Islam itu dapat dipertontonkan secara ‘amali, maka baharulah diperintahkan supaya menegakkan negara Islam yang pertama. Sebuah negara yang ditegakkan tanpa berhajat kepada angkatan polis atau bala tentera, justeru kerana setiap anggota dalam negara itu adalah polis dan tentera yang menjalankan kewajipan masing-masing. Sebuah negara yang menjadi impian kepada ahli-ahli falsafah Yunani di Barat, Parsi dan sebahagiannya di Timur, tetapi menjadi kenyataan kepada generasi terbaik umat Islam.

Sebenarnya, Islam yang diwahyukan oleh Allah bukanlah merupakan suatu teori yang hendak diuji, yang belum tentu jaya-gagalnya. Tetapi ia merupakan ajaran Allah yang menjadi jawapan yang tepat bagi menjawab dan menyelesaikan seluruh permasalahan yang dihadapi oleh umat manusia. Negara Islam yang pertama ditegakkan oleh Rasulullah S.A.W menerusi pembinaan generasi Sahabat yang bakal mewarisi perjuangan Islam di masa akan datang. Ianya ditegakkan melalui aqidah, kaedah dan cara yang dapat menjadi contoh dan teladan kepada umat-umat lain.

Islam itu ditegakkan bukan menerusi ugutan-ugutan ketenteraan, tetapi ianya berdiri di atas prinsip perlaksanaan yang adil lagi bersih. Kebaikan dan keadilan yang bukan sahaja dapat dilihat oleh umat Islam, bahkan golongan bukan Islam yang bernaung di bawah negara Islam. Kebaikan dan keadilan yang menyentuh hati nurani untuk menyedari dan menginsafi bahawa Islam adalah lebih baik daripada keadilan yang dicadangkan oleh sistem-sistem bikinan mereka. Kebenaran dan pembelaan hak dalam Islam adalah ajaran yang jauh lebih indah dan agung daripada apa yang pernah digembar-gemburkan oleh pembesar-pembesar mereka.

Itu semua dapat terpancar dan menyerikan suasana umat manusia setelah umat Islam diuji dan dicuba secara praktikal bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W sehingga mereka mencapai kemuncak peningkatan iman. Peningkatan keimanan yang tumbuh subur dalam jiwa umat Islam bergerak sejajar dengan meningkatnya kezaliman yang dilakukan oleh golongan jahiliyyah. Hakikat ini dialami dan dilalui secara nyata supaya nanti mereka tidak melakukan kezaliman ketika mereka diberi amanah di dalam urusan pemerintahan. Mereka pantas menjadi jurubicara untuk membela hak apabila mereka diberi peluang untuk membela hak orang lain. Mereka dapat melaksanakan ke¬pentingan umat manusia ketika diberi peluang untuk melaksanakannya.

Generasi yang menyaksikan penyelewengan dan kebobrokan sistem jahiliyyah secara nyata dan menerusi penyaksian itu bangun untuk merubah, meruntuh dan meranapkan sistem itu. Hasil daripada cara inilah, maka terbentuknya generasi gemilang umat Islam yang mewarisi perjuangan Rasulullah S.A.W. Generasi gemilang yang terus melaksanakan amanah risalah Islam setelah wafatnya Rasulullah S.A.W. Generasi yang dibentuk keperibadiannya menerusi tamrin dan tarbiyyah di dalam Sirah Rasulullah S.A.W.

Oleh kerana itu, kewafatan Rasulullah S.A.W yang membawa Islam hingga hari kiamat ini menjadi suatu hikmah yang besar ertinya. Ia merupakan bukti yang jelas tentang keabadian Islam yang akan dijulang dan disebarkan oleh generasi-generasi yang menurut jejak langkah Rasulullah S.A.W.

Generasi Para Sahabat bukan sahaja menerima perubahan fikrah menerusi penyampaian wahyu dan sabda Rasulullah S.A.W, tetapi generasi yang cekal menggagahi setiap ujian sehingga dapat membentuk keperibadian mereka sama ada dari segi individu ataupun jamaah. Dari sinilah terpancarnya sinar pijar (putih) yang gilang-gemilang kekuatan jamaah Islam yang pertama.

Kekuatan jamaah yang melaksanakan ajaran Islam yang syumul, lengkap dan sempurna. Kekuatan yang berakar umbi dari keimanan yang bulat kepada Allah, yang dihayati oleh Rasulullah S.A.W sebagai individu dan pimpinan jamaah. Kekuatan yang mengikat setiap diri para sahabat untuk tunduk dan patuh kepada kepimpinan Rasulullah S.A.W dan melaksanakan perintah Allah tanpa soal. 

Generasi Islam yang pertama terdiri daripada individu-individu yang hanya bergantung bulat kepada Allah. Tidak memandang ke Timur dan tidak pula memandang ke Barat. Individu-individu yang hanya menerima perintah arahan, hukum dan perundangan daripada Allah, sekaligus menolak dengan tegas setiap unsur-unsur yang lain dari Islam. Individu-individu yang hanya mengambil ajaran, sistem dan neraca penghayatan daripada Allah. Mereka menyelesaikan seluruh permasalahan yang timbul dengan terlebih dahulu merujuk kepada ketetapan hukum Allah, bukan melaksanakan sesuatu kemudianbaru dirujuk kepada Allah.

Inilah dia individu-individu yang pertama dibentuk oleh Rasulullah S.A.W, yang menjadi batu-bata dalam mengikat padu jamaah Islam. Batu bata yang mengikat suatu jamaah yang bergerak melanda segala liku berduri. Keutuhan dan kesepaduan suatu jamaah yang telah diuji secara praktikal di dalam peperangan Badar, peperangan Uhud, peperangan Hunain dan beberapa siri peperangan yang lain. Peristiwa-peristiwa yang mengajar umat Islam bahawa mereka tidak boleh menyimpang walaupun sedikit daripada mengabdikan diri kepada Allah.

Mereka diberi kemenangan dalam peperangan Badar, meskipun jumlah mereka terlalu kecil. Tetapi oleh kerana jiwa mereka suci dan hati mereka bersih untuk tunduk mengabdikan diri kepada Allah semata- mata, maka mereka telah dianugerahkan dengan kekuatan dan kemenangan. Tidak ada kebendaan yang dicari dan tidak ada pengaruh duniawi yang menjadi matlamat dan tujuan dalam perjuangan mereka.

Sebaliknya, di dalam peperangan Uhud, apabila hanya ada segelintir sahaja daripada jamaah Islam itu yang tidak mengikut arahan Rasulullah S.A.W mereka telah diajar dengan percikan darah yang menitis keluar daripada tubuh umat Islam, sehingga gigi Rasulullah S.A.W sendiri patah dan pipinya berdarah. Justeru kerana sedikit daripada mereka meninggalkan bukit strategi untuk mengejar ghanimah perang dan kebendaan, mereka telah diajar oleh Allah melalui syuhada’ yang bergelimpangan. Dan bagaimana mereka diuji sekali lagi secara jama'ah di dalam peristiwa peperangan Hunain tatkala mereka berbangga dengan jumlah mereka yang ramai. Mereka merasakan bahawa mereka tidak mungkin dapat dikalahkan : 

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.” - Surah al Taubah:25

Peristiwa ini menjadi dalil yang kuat untuk membuktikan bahawa kejayaan dan kemenangan umat Islam, kegemilangan generasi Islam bukanlah bikinan manusia, tetapi ia adalah kurniaan daripada Allah Taala. Pertolongan dan kurniaan daripada Allah itu tidak akan datang secara percuma, walaupun Islam ini adalah agama yang diturunkan oleh Allah.

Hal ini sepertimana yang disebut oleh Al Syahid Sayyid Qutb di dalam bukunya Ma'alim fi Toriq, 
“Meskipun Allah Taala boleh memberi kemenangan kepada umat Islam sebagaimana turunnya hujan dari langit, tetapi oleh kerana Islam itu diturunkan kepada manusia, maka kejayaan dan kegemilangan Islam ini hendaklah berjalan melalui proses kemanusiaan itu sendiri. Melalui sifat-sifat yang ada pada manusia, yang dibentuk melalui cara kehidupan manusia serta melalui tekanan dari penindasan yang dihadapi oleh mereka. Oleh kerana itulah Allah melatih dan membentuk mereka melalui wahyu secara individu dan jamaah, membentangkan di hadapan mereka ribuan tribulasi yang nyata dan praktikal. Sentuhan wahyu yang menggarap sikap dan semangat untuk memikul amanah Islam sehingga lahirnya individu-individu dalam rangkaian suatu jamaah yang padu dan kuat. Lahirnya jamaah Islam yang dapat melaksanakan perintah Allah tanpa syarat. Suatu jamaah yang tidak pernah menyimpang walau di saat wafatnya Rasulullah S.A.W. Mereka tidak mungkin dapat digugat, sebagaimana mereka tidak dapat digugat di zaman Rasulullah S.A.W.”

Generasi Para Sahabat yang dibentuk oleh Rasulullah S.A.W adalah generasi yang dapat memenuhi ciri-ciri jamaah Islam dan ciri-ciri individu yang menganggotai jamaah Islam. Mereka tidak pernah terpisah daripada risalah yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W dan mereka tidak juga bercita-cita untuk menukar aqidah keimanan mereka dengan sesuatu yang lain. 

Mereka tetap taat menjunjung pesanan Rasulullah S.A.W, meskipun Rasulullah S.A.W sudah pergi dan tiada bersama mereka. Antara pesanan Baginda S.A.W kepada sahabatnya, “Aku tidak takut kepada kemiskinan yang mengenai kamu. Tetapi aku takut terhadap keduniaan yang dibentang kepada kamu, sehingga kamu menjadi binasa dengan dunia, sebagaimana umat yang terdahulu daripada kamu binasa.” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Lantaran itu, mereka thabat berpegang kepada slogan-slogan yang dilaungkan oleh golongan Muhajirin dan Ansar ketika mendirikan masjid Nabawi bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W,“Wahai Tuhan, sesungguhnya tidak ada kehidupan melainkan kehidupan akhirat. Wahai Tuhan, berilah pertolongan kepada Muhajirin dan Ansar”.

Inilah generasi gemilang. Mereka tidak sedikit pun terikat kepada kehalobaan dunia, tetapi mereka memerintah dunia seluruhnya. Walaupun mereka diberi kemewahan dan kekayaan, tetapi mereka memerintah kemewahan dan kekayaan itu, bukannya terpedaya dengan pujukan rayu hawa nafsu lantas menjadi hamba kepada kemewahan. Ini menunjukkan kepada kita bahawa risalah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W merupakan risalah yang membentuk manusia berlandaskan keyakinan dan keimanan. Risalah yang tegak berpaksikan taqwa dan pengabdian kepada Allah Taala.

Generasi gemilang pertama yang bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W dilahirkan di Semenanjung Tanah Arab, bumi yang kering kontang, tanpa hasil mahsul dan jauh dari tamaddun kebendaan. Keadaan tumbuhnya watak dan keperibadian gemilang generasi pertama ini menjadi suatu siratan yang penuh hikmat dan pengertian. 

Kalaulah kemenangan Islam itu ditumpukan kepada kekuatan jumlah, maka lebih baik generasi ini dilahirkan di tempat yang mempunyai jumlah manusia yang ramai. Kalaulah kemenangan itu berdasarkan kepada kekuatan kebendaan, mengapakah Allah tidak melahirkan Rasulullah S.A.W itu di negeri Parsi, Rom, India atau China; negara-negara yang kaya dengan tamadun kebendaan. Tetapi hakikat ini tersimpul kemas dalam kenyataan bahawa kekayaan, kemewahan dan tamaddun kebendaan bukanlah menjadi pra-syarat kepada matlamat kehidupan manusia, serta bukan juga menjadi pra-syarat untuk mendapat melahirkan generasi yang gemilang itu. Ia hanya menjadi alat semata-mata yang tidak mungkin berguna sama sekali melainkan ia diarahkan di atas landasan keimanan kepada Allah Taala.

sumber : http://www.tarbawi.my/2013/04/sifat-sifat-kemenangan-kepada-pembela.html

Berada di kawasan tegar Umno Johor-Harakahdaily

Gambar: Suasana Penamaan Calon di Johor
Mengikuti perarakan penamaan calon PAS, Salahudin Ayub, untuk kawasan Parlimen Pulai, Johor dari Masjid Abu Bakar, Johor Bharu ke Dewan Jubli Intan, Sabtu lalu, menyaksikan suasana yang sangat luar biasa.

Salahudin bertanding melawan calon BN, Ahmad Jazlan.

Suasana di sekitar Johor Bahru hingga membawa ke Skudai dan Tampoi, malah hingga ke Gelang Patah, Pekan Nenas, berlainan dengan suasana pilihan raya di masa lalu di negeri ini, di mana dulunya bendera dan spanduk BN mendominasi semua kawasan.

Tetapi dalam PRU kali ini, Johor Bahru dan sekitarnya dilimpahi bendera PAS, PKR dan DAP. Kawasan Parlimen Pulai calon PAS bertanding dan di mana-mana orang bercakap secara terbuka mengenai Pakatan Rakyat dan calon dari komponan Pakatan. 

Saya tenggelam dalam kibaran bendera dan spanduk PAS dan DAP yang di bawa oleh beribu-ribu penyokong Pakatan Rakyat. Seorang penyokong PAS memberitahu saya, “Dulu nak cari seratus orang penyokong PAS mengarak calonnya pun begitu sukar di Johor Bahru ini, tetapi kali ini, lihatlah, ribuan yang datang.”

Penyokong Pakatan dari DAP berbaju merah begitu bersemangat sekali, beriringan dengan penyokong PAS dan PKR. Salahudin berbaju Melayu berwarna merah, diiringi isterinya dengan warna yang sama, tidak henti-hentinya bersalaman dengan orang ramai.

Ternyata bendera dan sepanduk PAS, DAP dan PKR mewarnai Bandaraya Johor Bahru dan tentunya memberi isyarat permulaan akan berakhirnya dominasi Umno/BN di negeri Johor selama lebih setengah abad. 

Orang Melayu di Johor Bahru, terutama di kampung Melayu yang tegar Umno, seperti Skudai, Majidee, Tampoi, Kempas, Air Molek dan lain-lain sudah berani bercakap mengenai PAS, DAP dan PKR, malah ada yang lebih berani mencacakkan bendera PAS di halaman rumah mereka.

Sama meriahnya sambutan orang Johor terhadap perarakan calon PKR, Gen (B), Tan Sri Md Hashim Hussein yang ditentang oleh Shahrir Abd Samad dari BN. Ribuah penyokong Pakatan, termasuk anak muda Melayu dan Cina ikut dalam perarakan itu, menambahkan lagi suasana bendera DAP, PAS dan PKR mendominasi bandaraya Johor Bharu.

“Ini pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara ini,” kata Salim Abd Samad, sorang penduduk Majidee, kawasan pekat Umno, Salim yang menyokong PAS setahu lalu itu menambah, “Kalau tidak, bendera dacing saja yang memenuhi Johor Bahru. Sekarang sudah ada perubahan, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi baru.” 

Sementara itu, selesai penamaan calon di Dewan Jubli Intan, Salahudin bersama penyokong pergi pula ke Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengan untuk menyerahkan borang pencalonannya untuk bertanding di Dun Nusa Jaya, pusat pentadbiraan kerajaan Johor. Lawannya Dr Zaini Abu Bakar.

Di sana Salahudin bertemu Lim Kit Siang (Calon DAP di Parlimen Gelang Patah) di tempat penamaan calon. Lawannya, calon BN, Abd Ghani Othman. Ribuan lagi penyokong Pakatan berhimpun di sana. Sekali lagi kelihatan bendera dan sepanduk PAS, DAP dan PKR mendominasi kawasan penamaan calon itu, sementara bendera dan spandok BN kelihatan ‘malu-malu’ muncul di sana sini. 

Yang menarik ialah, hadirin kaum Cina yang bersemangat. Ramai yang memakai topi berbentuk maskot DAP burung kenyalang bernama t-shirt ‘Ubah’. Ternyata, lima tahun selepas Pilihan Raya 2008, perubahan jelas sudah dirasakan di Johor.

Menurut penganalisis, pelbagai isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat sepanjang beberapa tahun lalu sudah boleh diterima oleh golongan muda dengan melihat kepada reaksi ribuan yang berhimpun di tempat letak kereta terbuka Sutera Mall. Mereka mendengar Kit Siang, pengerusi DAP negeri Dr Boo Chang Hau dan naib presiden PAS yang juga calon Dun Nusajaya, Salahuddin Ayub ketika keduanya berucap di ceramah umum di situ dua hari sebelum hari penamaan calon. 

Seorang relawan wanita muda di salah satu meja di bawah khemah putih di sana, Jenni Sin berkata, ramai kaum Cina Johor bekerja di Singapura dan berulang-alik setiap hari di Tambak Johor bukan kerana terpikat kepada republik itu, tetapi kerana boleh mendapat gaji yang lebih baik.

Pengundi Cina di Johor melihat Pakatan Rakyat mampu menyediakan kehidupan yang selesa bagi rakyat pelbagai bangsa di Johor.

Menurut penganalisis, Ibrahim Sufian dari Merdeka Center langkah DAP di Johor telah membangkitkan masyarakat Cina.

“Kit Siang bertanding di Gelang Patah dan mengetuai kempen DAP di Johor telah menyeronokkan komuniti Cina dan menunjukkan mereka serius untuk berkembang dan mendekati mereka,” kata Ibrahim.

“Kehadiran Kit Siang dalam meningkatkan sokongan Cina untuk Pakatan dan telah membantu merapatkan jurang untuk parti-parti pembangkang bagi mencapai matlamat mereka,” tambah beliau.

Ibrahim menambah Melayu di Johor tiada masalah bergaul dengan masyarakat Cina, akan tetapi sentimen perkauman telah dieksploitasi oleh mereka yang berkuasa untuk menimbulkan ketakutan.

Di kawasan Palimen Tanjung Piai, Johor, kawasan paling selatan Benua Asia, di mana terletak kampung saya dan juga kampung Salahudin Ayub, keadaan juga sangat menarik, di mana calon Parlimen dari DAP ialah seorang Melayu, Mahdzir Ibarhim, manakala calon BN, Wee Jeck Seng dari MCA. 

Pengundi Melayu di situ 52.11 peratus, Cina 46. 50 peratus, India 1.7 peratus dan lain-lain 0.32 peratus. Dua Dun di kawasan parlimen tersebut – Pekan Nenas dan Kukup, di mana adik Salahuddin Ayub, Ghazaly Ayub calon PAS di Dun Kukup menentang calon BN, Suhaimi Saleh. Sementara di Pekan Nenas, calon DAP, Yeo Tung Siong menentang calon BN, Wong You Fong. 

Inilah sebanyak sedikit gambaran awal, suasana PRU di beberapa kawasan di Johor, yang dulunya adalah kawasan tegar Umno/BN. Siapa tahu hati orang Johor boleh berubah dengan kehendak Allah.

sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/abdul-shukur-harun/18534-berada-di-kawasan-tegar-umno-johor