Tuesday, May 21, 2013

Analisis Awal Jabatan Pilihanraya PAS Johor PRU-13-Nusayakini




Dun Sg Abong PAS (Dr Syeikh Ibrahim Salleh) 14084 BN 10271 Menang majoriti 3813
Dun Puteri Wangsa PAS(Ustaz Abdullah Husin) 20357 BN 16888 Menang majoriti 3469
Dun Maharani PAS (Dr Mohamad Taslim) 12731 BN 9595 Menang majoriti 3136
Dun Pt Yaani PAS (Hj Aminolhuda Hassan) 11278 BN 10090 Menang majoriti 1188

Dun Gambir PAS (Dato' Dr Mahfodz Mohamed) 8395 BN 8705 Kalah majoriti 310
Dun Mahkota PAS (Khairulfaizi Ahmad Kamal) 18323 BN 19431 Kalah majoriti 1108
Dun Pemanis PAS (Normala Sudirman) 8976 BN 10305 Kalah majoriti 1329
Dun Tenang PAS (Md Zin Johar) 6335 BN 7921 Kalah majoriti 1586
Dun Sg Balang PAS (Malik Mohd Diah) 8081 BN 9716 Kalah majoriti 1635
Dun Senggarang PAS (Dr Ramli Md Kari) 9285 BN 11368 Kalah majoriti 2083
Dun Nusajaya PAS (Salahudin Ayub) 20965 BN 23166 Kalah majoriti 2201
Dun Serom PAS(Azmi Ahmad) 9354 BN 11618 Kalah majoriti 2264
Dun Endau PAS(Ust Azam Abd Razak) 6073 BN 9183 Kalah majoriti 3110
Dun Bkt Permai PAS( Mazlan Aliman) 7867 BN 11236 Kalah majoriti 3369
Dun Buloh Kasap PAS(Firdaus Mas'od) 6078 BN 9448 Kalah majoriti 3370
Dun Pulai Sebatang PAS(Ungku Mohd Noor Mahmod) 10142 BN 13554 Kalah majoriti 3412

Terdapat 12 Dun yang PAS tandingi di Johor kali ini kalah dengan majoriti tipis dan memperolehi lebih 40% undi. Dun Bkt Permai adalah Dun yang peratusan keluar mengundi paling tinggi di Johor iaitu 90.10%.

Sejumlah 292,588 pengundi telah mengundi PAS berbanding 408,776 pengundi mengundi BN. Jumlah ini adalah merangkumi 40.76% keseluruhan pengundi di DUN PAS bertanding. Ini adalah peningkatan sejumlah 7.9% berbanding PRU 12.

Isu perkauman yang dieksploitasi secara terancang dikenalpasti antara punca utama undi melayu menyokong BN.

Menurut Mazlan Aliman, Tn. Hj. Dzulkefly Ahmad, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor telah diamanahkan mengetuai Jawatankuasa Postmortem PAS Johor bersama pasukannya akan membentangkan hasil bedah siasat dalam tempoh 1-2 bulan lagi.

Friday, May 17, 2013

Ibtila' di Jalan Perjuangan-Tarbawi



Perjuangan Islam ini sememangnya telah dijanjikan ibtila' (ujian) yang bakal merintang di sepanjang jalannya. Perit, jerih dan penat lelah dalam menggalas beban amanah perjuangan menjadi sunnah yang telah ditempa para Nabi dan Rasul. Cumanya, sebagai insan yang serba dhaif ini terkadang seperti mahu mengaku kalah. Hanya akidah perjuangan yang dibina sekian lama masih teguh membentengi diri.

Lebih menarik, tekanan dan halangan luaran tidaklah menjadikan diri kita lemah, tetapi apabila berdepan dengan ujian dalaman terutama atas apa yang berlaku pada diri kita sendiri sementara orang lain pastinya tidak mengetahui penderitaan yang sedang kita alami.

Terkadang hati pejuang ini akan menangis sendirian melepaskan berat beban yang menindih guna mencari nafas baru dan saki baki kekuatan diri. Mungkin cara ini berkesan untuk meringankan beban perasaan bila berdepan dengan susah sukar perjuangan.

Saya masih ingat bagaimana bicara Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat seketika dahulu semasa saya mengunjungi beliau dirumahnya. Tuan Guru menceritakan pengalamannya sewaktu beliau seorang diri menjadi wakil rakyat di Parlimen mewakili PAS.

"Terkadang memandu seorang diri ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sidang parlimen dengan keadaan permukaan jalan tidaklah sebaik apa yang kita nikmati hari ini. Demikian juga ke hulu dan ke hilir memenuhi undangan ceramah seorang diri memandu kereta, balik jauh-jauh malam. Menangis saya sambil memandu seorang diri, peritnya nak bawa Islam pada masyarakat Melayu ketika itu. Sampai di rumah pula, buka saji, makanan tak ada dan isteri sudah nyenyak tidur..."

Kala terasa penat seharian di lapangan, saya segera mengingati cerita Tok Guru, terasa nyaman jiwa dan kembali segar seperti kembali dari satu sesi motivasi. Inilah juga yang diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W, dalam satu hadis yang dikeluarkan oleh Imam Abu Laith as Samarqandi dalam musnadnya dari Ato' bin Abi Ribah (bermaksud), "Apabila seseorang kamu ditimpa musibah maka ingatlah musibah yang turut menimpaku kerana sesungguhnya ia adalah sebesar-besar musibah."

Pastinya jauh langit dan bumi jika dibanding tahap tekanan dan bebanan yang kita hadapi pada hari ini dengan apa yang dihadapi oleh Rasulullah S.A.W sebagai Rasul ulul 'Azmi dan para salaf as soleh. Namun jelas, tatkala membaca sirah Rasulullah S.A.W, bagai satu tamparan terhadap diri sendiri betapa tidak layak pun kita mahu mengeluh dengan sedikit ujian yang kita hadapi.

Jamaludin Al Afghani pernah menganggap ujian seperti buang daerah laksana melancong, penjara seperti istirehat dan dibunuh pula merupakan jalan pintas untuk menemui Allah Taala sebagai kekasih yang dirindui. Sungguh dahsyat ibarat ini. Siapakah gerangannya yang mampu menganggap penjara sebagai tempat istirehat dan buang daerah sebagai pakej pelancongan jika ia bukan terdiri dari pejuang-pejuang Islam yang tinggi pergantungannya kepada Allah Taala.

Manisnya berjuang apabila kita merasai keperitannya. Seperti lazatnya orang berpuasa setelah ia melalui detik lapar dan dahaga kemudian ia berbuka dihujung hari. Indahnya hidup orang yang mendapat sijil pengajian setelah berpenat lelah saban tahun mencari ilmu. Begitulah manisnya berjuang biar difitnah dan ditohmah. Biar penat dan lelah segala anggota namun di kala ada kesempatan bertelingkuh bermunajat ke hadhrat Ilahi, terasa diri cukup bertuah.

Selamat berjuang buat semua biarpun payah.


Nukilan : Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Sumber : http://www.tarbawi.my/2013/05/ibtila-di-jalan-perjuangan.html

Kabinet Najib, malang untuk Selangor, Johor-Blogger


KL TODAY

PETALING JAYA: Malang  datang bertimpa buat Umno Selangor, setelah kalah besar dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu, kini tidak ada seorang pun menteri dalam kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak. Pengguguran Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Noh Omar di luar jangkaan kerana ahli parlimen Tanjong Karang itu merupakan orang kuat Umno di negeri itu yang diharap merampas kerajaan negeri dari Pakatan Rakyat.
Kabinet Najib itu hanya memilih seorang wakil dari Selangor – Datuk Noriah Kasnon yang diberi jawatan Timbalan Menteri Perusahaan  Peladangan dan Komuniti.

Buat kali pertama dalam sejarah, Selangor tidak ada menteri sesuatu yang sukar untuk dipercayai kerana negeri ini begitu ramai melahirkan tokoh Umno, antaranya Datuk Harun Idris yang pernah menjadi Ketua Pemuda Umno yang sangat berpengaruh.

Manakala tokoh-tokoh lain termasuk Datuk Seri Ahmad Razali yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor dan yang terakhir Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Dengan perhimpunan agung Umno November ini sengit kerana beberapa jawatan utama parti dijangka dicabar, Najib hanya memilih dua wakil Umno dari Johor, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Hantar isyarat

Najib seolah-olah menghantar isyarat kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa negeri terkuat Umno itu tidak semestinya mendapat ramai menteri. Seperti wujud khabar angin orang Umno negeri itu mahu Muhyiddin bersuara lantang dalam perhimpunan itu seperti yang dilakukan sehingga bersarannya Tun Abdullah Ahmad Badawi ekoran prestasi buruk Barisan Nasional dalam pilihan raya umum tahun 2008.

Prestasi Najib dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu juga buruk kerana hanya menang 133 kerusi parlimen, sekalgus gagal mendapat 2/3 majoriti.

Mengejutkan kerana negeri kelahiran Umno itu hanya mempunyai dua menteri iaitu  Muhyiddin  sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi, manakala Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pertahanan.

Pada kabinet  Abdullah dalam pilihan raya umum tahun 2008, Johor mempunyai enam menteri – Muhyiddin, Hishamuddin, Tan Sri Shahrir Abdul Samad (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan); Tan Sri Syed Hamid Albar (Menteri Dalam Negeri) dan Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri Pelancongan).

Kedudukan Johor dipintas oleh Sabah dan Perak yang masing-masing  mempunyai tiga orang menteri, Datuk Shafie Apdal, Datuk Seri Anifah Aman dan Datuk Abdul Rahman Dahlan (Sabah) manakala Datuk Seri Nazri Aziz, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari Perak.

Begitupun dua negeri lagi iaitu Melaka dan Pulau Pinang juga mengalami nasib sama seperti Selangor, tidak ada seorang pun wakil rakyat berjawatan menteri.

Melaka paling malang

Namun, Melaka yang paling malang kerana tidak ada menteri dan timbalan yang dilantik menganggotai kebinet baru Najib ini.

Pulau Pinang mempunyai seorang timbalan menteri iaitu Datuk Seri Dr Hilmi Yahya yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.

Bagaimanapun, berdasarkan prestasi `hitam’ Umno negeri dalam pilihan raya umum lalu, keputusan Najib itu dianggap adil dan munasabah.


Seolah Umno Pulau Pinang tidak ada lagi tokoh yang berkaliber seperti mereka memiliki Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi ancaman terbesar kerajaan.

Pada pilihan raya umum tahun 2008,  Pulau Pinang mempunyai seorang menteri kabinet iaitu Datuk Seri Nor Yackob Mohamed, Menteri Jabatan Perdana Menteri.

Perlantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Belia dan Sukan tidak mengejutkan atas kapasitinya menjadi Ketua Pemuda Barisan Nasional dan Umno, namun pengguguran bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor di luar dugaan memandangkan beliau masih sepenggal menjadi anggota kabinet dan usianya masih muda.

Sabah, Perak pintas Johor

Kedudukan Johor dipintas oleh Sabah dan Perak yang masing-masing  mempunyai tiga orang menteri, Datuk Shafie Apdal, Datuk Seri Anifah Aman dan Datuk Abdul Rahman Dahlan (Sabah) manakala Datuk Seri Nazri Aziz, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari Perak.

Terengganu mempunyai dua menteri iaitu Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Shabbery Cheek; Negeri Sembilan (dua); Pahang (tiga), Negeri Sembilan (dua); Kelantan (satu); Perlis (satu) dan Wilayah Persekutuan (seorang).

Dalam kabinet Najib ini juga dua menteri bolah dianggap sebagai kitar semula. Datuk Seri Tengku Adnan sebelum ini pun pernah menjadi Menteri Wilayah Persekutuan semasa era Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semasa Abdullah menjadi Perdana Menteri, Tengku Adnan merupakan Menteri Pelancongan.

Manakala Idris Jusoh juga selain pernah menjadi Menteri Besar Terengganu (2004 hingga 2008), menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan pada tahun 1999.

sumber : http://dialograkyat.blogspot.com/2013/05/kabinet-najib-malang-untuk-selangor.html

Tuesday, May 14, 2013

Indahnya Adab Musyawarah : Sebuah Analisis Perang Uhud-Tarbawi



Ketika kekalahan di Uhud berlaku, pelbagai versi ulasan dibual-bicarakan yang merungkai faktor utama kekalahan kaum Muslimin. Salah satu versi yang berkembang disebarkan oleh kaum munafik ialah kerana kaum Muslimin yang terdiri di kalangan para sahabat RasuliLlah lebih mengutamakan syura (musyawarah) berbanding pendapat Rasulullah S.A.W sendiri.

Dalam rujukan Sirah Ibnu Hisham menceritakan, adalah sebelum peristiwa Uhud terjadi, Rasulullah S.A.W telah bermimpi melihat lembu disembelih, mata pedangnya sumbing kemudian tajam semula. Mimpi tersebut ditakwilkan Baginda sebagaimana berikut, "Lembu yang disembelih menandakan ada beberapa orang Sahabat Baginda yang terkorban syahid; Mata pedang sumbing menandakan kekalahan akan berlaku, namun selepas kekalahan tersebut akan mengundang kemenangan yang lebih besar." - Riwayat Muslim

Hal ini menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W telah diberikan petanda daripada Allah mengenai peperangan Uhud tersebut, lalu Baginda meminta para sahabat memberikan pendapat masing-masing dengan melakukan musyawarah sama ada mahu bertahan di Madinah atau bertempur di luar Madinah.

Rasulullah S.A.W telah mengusulkan kepada para sahabatnya agar tidak pergi ke medan Uhud dan berkubu sahaja di Madinah. Abdullah bin Ubai, si munafik sependapat dengan cadangan Baginda RasuliLlah, tetapi para sahabat yang terdiri dari anak muda tidak bersetuju, dan bersungguh-sungguh mahu berjihad di luar Madinah. Melihat pendapat Para Sahabat yang rata-ratanya mahu berperang di luar Madinah, Rasulullah S.A.W mengabaikan pendapatnya sendiri dan memutuskan untuk bertempur di medan terbuka.

Baginda memakai kelengkapan perang sambil di pinggangnya disarungkan pedang, sementara itu para sahabat tiba-tiba muncul perasaan menyesal dan serba salah kerana keputusan mereka telah menyebabkan Rasulullah S.A.W keluar ke medan Uhud. Sedangkan Rasulullah S.A.W yang meminta mereka agar bertahan sahaja di Madinah. Menyedari keterlanjuran tersebut, kaum Muslimin yang terdiri dari Muhajirin dan Ansar berkata kepada Rasulullah S.A.W, "Wahai Rasulullah, kami tidak akan menyalahkanmu. Lakukanlah apa yang Tuan kehendaki. Jika Tuan ingin menetap di Madinah, lakukanlah."

Dengan tegas Rasulullah S.A.W menjawab, "Seorang Nabi, jika sudah memakai baju besi, maka tidak patut dia menanggalkannya semula sehingga Allah memberikan keputusan antara Dia dan musuh-Nya."

Keputusan Para Sahabat untuk bertempur di luar Madinah bukanlah lahir dari sikap melawan terhadap keputusan Baginda S.A.W, tetapi lahir dari semangat jihad yang membara. Oleh kerana itu, keputusan Rasulullah S.A.W telah bulat dan sepakat menerima keputusan musyawarah yang berpihak kepada para sahabat. Mereka sama-sama keluar bertempur, medannya di bukit Uhud. Inilah keputusan bersama, apapun hasilnya juga menjadi tanggungjawab bersama.

Begitu jelas etika yang dipamerkan Rasulullah kepada hasil musyawarah sekalipun pendapat Rasulullah S.A.W secara peribadi lebih cenderung berkubu dan menunggu musuh di dalam kota Madinah. Dalam menilai tindakan Baginda S.A.W, Allah Taala berkomentar tentang peristiwa di Uhud sebagaimana firman-Nya : 

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (Para Sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakal-lah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya". (Al Imran:159)

Hal yang terjadi telah terjadi, hal diputuskan telah ditaqdirkan Allah, umat Islam menerima kekalahan walaupun pada pusingan pertama pertempuran di Uhud, bibit-bibit kemenangan memihak kepada tentera Islam. Namun, kealpaan pasukan tentera memanah menuruti arahan Rasulullah S.A.W mengundang seribu satu sebab mengapa tentera Islam tewas di medan Uhud. Baginda S.A.W turut terjatuh ke dalam lubang yang digali oleh Abu Amar Ar Rahab sehingga menyebabkan kedua-dua belah lutut terbelah luka, pipi Baginda cedera dan giginya patah. Tidak kurang juga tentera Muslim yang lain, ada yang terkorban dan rata-ratanya mengalami kecederaan dahsyat akibat serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh tentera Quraish dengan penuh dendam.

Dalam peperangan Uhud, orang-orang munafik jelas menunjukkan belangnya. Hal ini juga menjadi ibrah penting kepada umat Islam. Pembelotan Abdullah bin Ubai dan tiga ratus orang pengikut-pengikutnya merupakan bukti kemunafikan yang sebelumnya tidak kelihatan. Kekalahan kaum Muslimin di medan Uhud secara tidak langsung membantu mereka mengenali secara jelas identiti orang-orang munafik secerah mentari.  

Lalu apabila kaum munafik ini kembali ke Madinah, berkembanglah cakap-cakap mulut mereka yang mengatakan, "Peristiwa kekalahan di Uhud itu disebabkan kaum Muslimin lebih mementingkan hasil syura daripada pendapat Rasulullah S.A.W."

Memang benar keputusan syura saat itu terasa pahitnya, tetapi yang lebih pahit lagi ialah sekitar 1/3 pasukan kembali ke Madinah di bawah pimpinan Abdullah bin Ubai. Alasannya kerana keberangkatan tentera Islam ke Uhud itu mengenepikan pendapat Rasulullah S.A.W yang sebenarnya mahu bertahan di dalam kota Madinah sahaja.

Tindakan Abdullah bin Ubai itu dilakukan kononnya tidak tega menyalahi pendapat Rasulullah, padahal saat Baginda S.A.W keluar ke medan Uhud tidak pula perlindungan diberikan kepada Rasulullah. 

"(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal" (Ali Imran:122)

Dua puak di sini ialah dua puak yang terdiri di antara orang benar imannya dan orang yang palsu imannya. Orang yang palsu imannya kembali melontarkan kata-kata, "Kekalahan ini disebabkan kerana kaum Muslimin enggan mengikuti pendapat Muhammad, tetapi akur dengan musyawarah yang dipengaruhi oleh 'anak-anak muda'!".

Cakap-cakap mulut yang cuba menjatuhkan imej para sahabat dan orang-orang yang beriman menimbulkan kesedaran bahawa mereka turut mempunyai musuh dalam selimut yang mesti diwaspadai dan diperhatikan, sebagaimana perhatian Allah yang khusus kepada golongan ini di dalam surah "al-Munafiqun". Tabiat orang-orang munafik sememangnya lebih banyak bercakap daripada berusaha, lebih banyak meramal daripada beramal, lebih kerap beralasan daripada bertindak, lebih banyak mencari silap orang lain daripada memulihkan kesilapan diri sendiri.

Kesimpulan yang diberikan oleh Allah Taala tentang keputusan akhir di medan Uhud, sangat berbeza dengan luahan puak-puak munafik. Allah Taala menurunkan 80 ayat untuk menjelaskan pelbagai hal yang terjadi sebelum, saat berlangsung dan setelah perang Uhud (bermula dari ayat 120 sehingga ayat 200 dari surah Al Imran). Di antara ayat-ayat itu, Allah membangkitkan kembali semangat juang kaum Muslimin :

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman." (Ali-Imran:139)

Dalam tafsir "Fi Zilalil Quran" sekitar ayat 120 sehingga ayat 200 surah Ali Imran, Sayyid Qutub memberikan komentar tentang peristiwa di Uhud, "Sebenarnya, menjadi hak Rasulullah S.A.W untuk mengabaikan keputusan syura, akan tetapi Baginda tetap menjalankan syura meskipun Baginda S.A.W mengetahui apa yang tersirat di sebalik keputusan itu baik berupa kekalahan, kerugian dan pengorbanan, kerana menetapkan sebuah prinsip (prinsip syura) dapat mengajar jemaah, dan mentarbiyyah umat menanggung beban keputusan secara bersama baik berupa kemenangan mahupun kerugian yang bersifat sementara."

Hikmah dari arahan Allah supaya syura itu dilakukan kerana Islam ingin membangunkan satu umat yang ditarbiyah dan mempersiapkan diri sebagai umat contoh kepada seluruh umat manusia. Oleh itu, sebaik-baik sarana mentarbiyah umat itu adalah dengan cara melaksanakan musyawarah, kerana ia secara tidak langsung mendidik mereka dengan prinsip musyawarah dan turut melatih mereka memikul beban hasil musyawarah tersebut, kerana manusia dengan segala sifat kelemahannya tidak akan dapat mengetahui mana yang benar kecuali setelah melakukan kesalahan, mereka boleh sahaja kalah dengan emosi dan perasaan.

Lantaran itu, Umat Islam tidak sepatutnya menghasilkan didikan anak bangsa seperti anak kecil yang tidak pernah dilatih berjalan dengan alasan agar tidak jatuh, namun pada akhirnya nanti anak kecil itu betul-betul tidak mampu berjalan!

Sebagai contoh, apabila Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengusulkan nama "Negara Berkebajikan", di sana timbul ahli yang bersetuju dan ahli yang tidak bersetuju, ada yang menerima dan ada yang membangkang. Ketahuilah bahawa setiap bangkangan dan persetujuan yang berlaku dalam sesi mesyuarat itu tiada dosa dan tiada salahnya. Ketika sesi musyawarah setiap orang berhak membangkang dan setiap orang berhak berhujjah, tetapi setelah musyawarah itu diputuskan maka wajib kita menanggungnya bersama.

Oleh sebab itu, dalam sesuatu musyawarah atau perbincangan, jika ada pandangan atau idea kita ditolak, ucapan yang wajar kita sebutkan ialah "Alhamdulillah", dan jika pandangan kita diterima jangan pula merasa bangga tetapi ber"istighfar"-lah sebanyaknya, pasti ia suatu ujian buat kita. Ramai yang terkeliru, apabila setiap perkara itu dilakukan secara musyawarah maka setiap keputusan itu pasti sempurna, pasti tiada silapnya atau pasti berjaya, sehingga ada yang menuduh "anda salah ijtihad", "keputusan anda tidak betul" dan sebagainya, padahal bukan begitu hakikat perlaksanaan syura.

Syura dilakukan adalah untuk mengajar kita merasai kejayaan, melaksanakan keputusan atau menanggung kekalahan bersama, kerana komitmen orang beriman pasti akan diuji Allah sama ada tergelincir ke jurang kekeliruan ataupun berjaya meragut hasilnya.

Oleh itu, belajarlah adab musyawarah kerana setiap perkara yang diputuskan itu pasti mengundang risiko seumpama kekalahan di Medan Uhud ataupun kemenangan di Medan Khandak.

sumber : http://www.tarbawi.my/2013/02/adab-musyawarah-analisis-perang-uhud.html

Hati dan Tarbiyah Insaniyah-Tarbawi



Tidak ada manusia yang dilahirkan di dalam keadaan yang bebas daripada cengkaman kejahilan. Manusia lahir dalam keadaan tidak mengerti apa-apa sebagaimana firman Allah;


"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu  dengan keadaan  tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia mengurniakan untuk kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (aqal fikiran) supaya kamu bersyukur." (An Nahl:78)

Mereka bertatih untuk mengetahui segenap penjuru kehidupan. Kemudian, dalam kekalutan dan kepenatan membina kehidupan itulah mereka mula tersentak dan tergerak untuk mengenal dan mencari-cari matlamat sebenar kehidupan ini. Tidak mudah untuk keluar dari kepompong jahiliah ini, kecuali bagi mereka yang berusaha dan mencuba dengan segenap daya dan upaya untuk menjadi manusia yang tahu nilai serta hakikat tujuan kehidupan ini.

Ar Rasul sallaLlahu alaihi wasallam diutus oleh Allah untuk mentarbiah manusia ke arah jalan yang sebenar kehidupan ini. Baginda dikurniakan Al Quran untuk dibacakan kepada manusia agar ia mampu memandu dan menunjuki ke arah jalan kebenaran. Segala kasih sayang Allah dijelmakan melalui pengutusan dan penurunan ini kepada manusia. Tanpa Rasul dan Al Quran, sudah pasti manusia gagal mengenal erti kehidupan, apatah mengenal Allah dan alam ghaib. Justeru ia adalah tanda kasih sayang Allah yang tiada taranya kepada manusia.

Kita pun tahu bahawa proses kejadian manusia yang diciptakan oleh Allah ini cukup unik, dicipta bukannya seperti malaikat dan juga bukannya seperti syaitan. Di antara kedua kejadian inilah diciptanya manusia, yang mempunyai sikap dan akhlak sekiranya diasuh dengan Al Quran dan aqal yang waras maka terbentuk insan yang soleh. Sebaliknya jika dibiarkan kepada nafsu dan syahwat maka terjerumuslah manusia kearah kehinaan dan kesesatan. 

Sementelahan pula pandangan Allah tidak tertumpu kepada jasad luaran manusia, bahkan Allah memandang hati manusia dan amalan yang di kerjakan oleh manusia. Walau bagaimana cantik rupa parasnya, mancung hidungnya, mengurai lembut rambutnya, ia tidak memberi setitik kesan pun di sisi Allah untuk menaikkan darjatnya. Hatinyalah menjadi keutamaan. Maka manusia yang mengenal diri akan dapat memperakui apa yang diajar oleh agama bahawa hatilah pusat dan benteng kekuatan manusia menghadapi ancaman kehidupan yang ganas ujiannya.

Hati manusia sentiasa menjadi tumpuan para Malaikat Allah dan juga  syaitan yang sentiasa berusaha untuk mengerumuninya agar mereka mampu menguasainya. Kita pula diberi oleh Allah aqal yang waras untuk memilih dan membuka ruang yang luas ini samada untuk syaitan atau untuk para malaikat. Ini sebagaimana Yang dinyatakan oleh Allah di dalam firman-Nya; 

"Maka Dia mengilhamkannya kepada kejahatan diri dan kepada ketaqwaannya." (As Syams:8)

Justeru terpulanglah kepada manusia sendiri untuk memilihnya. Ini adalah gambaran ujian dan cabaran yang besar. Berbahagialah mereka yang memahami dan menyahut hikmat kejadian ini dengan sebenar-benarnya. Sebaliknya, alangkah besarnya kecelakaan yang bakal menimpa diri di hari pembalasan bagi mereka yang lalai dan melupakan tanggung jawab mereka yang hakiki di dunia ini.

Bagi mereka yang hatinya hidup, sudah tentu ia tidak akan membiarkan perjalanan yang panjang ini menjadi sempit dan kusut dengan membiarkan hatinya di kuasai oleh syaitan yang sentiasa berusaha untuk memperdayakan manusia. Inilah janji Iblis kepada Allah dalam firman-Nya;

"Iblis berkata; Oleh kerana Engkau (ya Allah) menyebabkan daku tersesat, demi sesungguhnya aku akan menghalangi manusia dari menjalani jalan-Mu yang lurus."

"Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dari kanan mereka dan kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka menjadi orang yang bersyukur." (Al A'raf:16-17)

Jelas, ujian kehidupan sungguh berat. Halangan dan rintangan sengaja diciptakan Allah untuk memperteguhkan maksud ujian dan penapisan orang-orang benar daripada orang-orang yang menolak dan membohongi tujuan sebenar hidup ini. Setiap insan terlalu bergantung kepada rahmat dan kasih sayang Tuhannya sendiri. Pertarungan dengan Syaitan sahaja sudah cukup menggambarkan bagaimana manusia, dan bila-bila masa sahaja mereka boleh tewas di tangan makhluk Tuhan yang melihat mereka, sedang mereka tidak pula mampu melihatnya.

Justeru tarbiyah diri, atau latihan yang berterusan sangat diperlukan untuk menghadapi kesukaran ini. Manusia hidup bagai tentera sepanjang masa, berlatih sebagai tentera dan bekerja dan bertugas sepanjang masa sebagai tentera buat menghadapi serangan musuh.

Hatilah sasaran tarbiyah. Ia mesti dibina sekukuhnya buat menjadi benteng iman dan ubudiyah kepada Allah. Ia ibarat kota yang dipenuhi  ciri-ciri keselamatan dalam segenap segi. Bukankah musuh hanya akan berhenti sesudah kota digempur dan ditawan?

Proses  tarbiyyah ini bukan bersifat sementara dan semasa sahaja bahkan ia bersifat keperluan yang berterusan dalam kehidupan seorang hamba. Sebagaimana perlunya kita terhadap makan dan minum, tidur dan bangun, air serta udara untuk kehidupan, maka kita juga perlu untuk ditarbiyah dan dididik dalam kehidupan ini. Betapa ramai di kalangan manusia yang sibuk menjaga jasad luaran yang akan hancur tetapi sayangnya ia tidak sibuk menjaga dalaman jiwanya yang akan dipertontonkan di hadapan Allah nanti. Marilah kita memulakannya.


http://www.tarbawi.my/2013/05/hati-dan-tarbiyah-insaniyah.html

MCA terima Exco Johor kerana perintah Sultan?-Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menyalahkan Sultan Johor kerana terus melantik pemimpin MCA untuk menjadi Exco negeri Johor.

Soi Lek dalam kenyataannya berkata, MCA tidak memberikan sebarang rokomendasi agar Adun Pulai Sebatang dari MCA, Datuk Tee Siew Keong dilantik sebagai Exco.

"Perlantikan Tee sebagai Exco adalah decree (perintah) Sultan Johor yang berkuasa untuk berbuat demikian," kata Chua dalam kenyataannya.

MCA di bawah kepimpinan Chua sebelum ini membuat keputusan tidak akan menerima sabarang jawatan kerajaan jika pencapaian MCA lebih lemah berbanding sebelum ini.

Ia adalah resolusi MCA yang dibuat pada tahun 2011 dan 2012.

"Sultan mempunyai kuasa untuk melantik Menteri Besar dan Exco kerana keunikan Perlembagaan Negeri," kata Chua dalam kenyataannya.

Ekoran cadangan perlantikan ini, Chua berkata beliau telah meminta pandangan Perdana Menteri mengenainya dan Datuk Seri Najib telah menasihatkan beliau mendengar perintah sultan.

"Suka saya tekankan di sini, MCA akan mengekalkan keputusannya yang diluluskan dalam mesyuarat agung tahunan 2011 dan diluluskan lagi dalam mesyurat 2012, untuk menolak semua jawatan kerajaan.

"Jawatankuasa Pusat MCA akan membincangkan kes Tee dan dia mungkin menghadapi tindakan disiplin berikutan perlantikan sebagai Exco Johor," tambah Chua dalam kenyataannya.

sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/19250-mca-terima-exco-johor-kerana-perintah-sultan#.UZMGKbWnCSo

‘Saya berjaya tebas hutan belantara di Johor’-Ustaz Abdullah Husin


KUALA LUMPUR: “Saya berjaya menebas hutan belantara di Johor,” begitulah ungkapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa, Ustaz Abdullah Hussin (gambar) yang pertama kali bertanding di Johor kira-kira 27 tahun lalu.

Sewaktu diamanahkan calon PAS di Tanjung Puteri pada Pilihan raya Umum 1986 dahulu, Abdullah berkata beliau telah hilang deposit gara-gara bertanding di suatu tempat yang asing bagi PAS.
“Saya bertanding banyak kali. 5 kali sama dengan Pak Ungku (calon PAS Pulai Sebatang). Apa ada hal. Orang kata tempat saya (Puteri Wangsa) tempat selamat. Mana ada jamin selamat, harapan menang ada sebab Pakatan Harapan Rakyat.
“Saya pernah hilang deposit tahun 1986, pertama kali bertanding di Dun Tanjung Puteri. Hanya dapat 400 undi, lebih sikit daripada tentera Badar. Wartawan datang jumpa saya, apa perasaan. Dalam hati, sabar aje lah.

“Saya kata, saya amat puas. Semua terkejut sebab apa? Saya amat berpuas hati masuk (bertanding). Ini ibarat berjaya ‘tebas hutan belantara di Johor,” katanya lagi dipetik Selatan Online.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di hadapan lebih 1,000 orang dari pelbagai kaum pada majlis kesyukuran di pekarangan Markas Tarbiyyah Parit Markom Benut, Pontian dekat sini semalam.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Pontian dan Tanjung Piai, Raden Sarobo Pono, dan Ustaz Ahmad Sani serta bekas calon PAS Pulai Sebatang dan Machap, Dr Ungku Mohd Noor Ungku Mahmood dan Ustaz Mohd Khalid Salikan.

Kemenangannya kini, kata beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Johor adalah kemenangan bersama.

Ujarnya, hutan yang tebal dengan frasa keramat ‘Tiang Seri Umno’ sudah ditebas dan petanda lonjakan sokongan PAS naik 100 peratus di negeri Johor.

“Masa dulu Cina takut (dengan PAS). Sekarang tidak. Ini yang Umno tak boleh tidur.

“Tahun 1999 saya bertanding di Serom, Tempat Abdul Ghani Othman, lawan Menteri Besar. ingat hilang deposit tapi saya dapat undi 7,000 dia dapat 15,000, kata orang not bad.

“Tahun 2004, saya bertanding di Machap. Dulu banyak kali kalah. Alhamdulillah, sekarang menang dengan majoriti lebih 3,000. Ini kemenangan semua, bukan saya seorang. Saya wakil rakyat semua orang di Johor,” jelas beliau lagi.

Pada PRU13 ini, beliau yang mendapat 20,357 undi menewaskan calon BN dan Bebas dengan majoriti 3,469 undi. Pada PRU12, calon BN menang dengan majoriti 5,721 undi.

Monday, May 13, 2013

Adakah Umno Johor sokong Abdul Ghani dilantik sebagai senator?-Harakahdaily


NUSAJAYA: Bukan sahaja pemimpin Umno BN diam membisu terhadap cadangan Lim Kit Siang bahawa bekas Menteri Besar Johor empat penggal, Datuk Abdul Ghani Othman sepatutnya dianugerahkan dengan jawatan kanan kerajaan, tetapi seperti terdapat penolakan rasmi apabila Mubarak, pertubuhan bekas-bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional, mengisytiharkan mereka yang kalah dalam pilihan raya umum kali ini tidak sepatutnya dilantik menjadi senator atau menteri.

“Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Rahman sudah tentu merujuk kepada Ghani kerana saya secara khusus telah mencadangkan Ghani, selepas mempertimbangkan sumbangan dan pengalamannya di Johor, sepatutnya dilantik sebagai Senator dan dijadikan menteri, dan jawatan Kabinet yang sesuai untuknya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab dalam Unit Perancangan Ekonomi, menggantikan Nor Mohamad Yakcop,” kata Lim Kit Siang.

Kit Siang berkata, penolakan tersurat kepada cadangan menjadikan Abdul Ghani sebagai senator dan pelantikannya sebagai menteri telah mengesahkan apa yang disyaki selama ini bahawa beliau adalah mangsa perebutan kuasa di dalam Umno, terutamanya di Johor.

“Dan Ghani dipaksa untuk bertanding di Gelang Patah bagi menamatkan karier politiknya sekiranya beliau gagal, meminjam kata-kata Tun Mahathir, menjadikan gelang patah ‘kubur’ saya,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran PRU13 di Taman Puteri Utama, di sini petang tadi.

Bagi Kit Siang, pertempuran Gelang Patah tidak pernah menjadi pertempuran peribadi antara Abdul Ghani dan beliau memandangkan beliau telah secara terbuka mengakui sumbangannya untuk membangunkan dan memajukan Johor sepanjang 18 tahun menjadi Menteri Besar.

“Itulah sebabnya saya mencadangkan Ghani, walaupun beliau kalah di Gelang Patah, boleh terus berkhidmat untuk negara dengan melantiknya sebagai Senator dan Menteri, kerana pertempuran Gelang Patah tidak sepatutnya dianggap sebagai pertempuran kalah mati yang mana Ghani perlu menamatkan karier politiknya meskipun tewas di Gelang Patah,” ujarnya lagi.

Nampaknya, kata Kit Siang di dalam DAP dan Pakatan Rakyat lebih bersedia memperakui bakat tanpa mengira parti namun Umno BN tidak begitu.

Justeru, beliau tidak faham atau bersetuju dengan sikap bahawa Abdul Ghani sepatutnya diketepikan hanya kerana kekalahannya di Gelang Patah.

Beliau juga menyeru Umno Johor, semua bahagian dan cawangannya, termasuklah pemimpin Umno Johor, untuk mengisytiharkan apakah mereka menyokong Abdul Ghani untuk dilantik sebagai senator supaya boleh menjadi menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi.

“Beranikah MCA Johor memberikan sebarang pandangan tentang Ghani ini?” tanya beliau.

Muhasabah Perjuangan buat Amilin Gerakan Islam PAS-Syeikh Zainul Asri

Dengarlah & hayatilah. Muhasabah buat kita semua. Sangat menyentuh hati.


link : http://www.youtube.com/watch?v=rRKtHn03rQM

Saturday, May 11, 2013

PRU14 : kita perlukan undi Malaikat-Ustaz Nasruddin Hasan Tantawi

1] Keputusan PRU 13 terlalu banyak tanda tanya yang melibatkan ketelusan dan kejujuran BN menghadapi PRU dan SPR yang mengendalikan PRU tersebut. Bermula laporan polis berkait dakwat kekal yang boleh dihilangkan sepenuhnya dalam tempoh tak sampai setengah jam sebagaimana berlaku di seluruh negara hinggalah laporan mengenai sogokan wang kepada pengundi jika mereka memberi undi kepada BN sebagaimana yang berlaku di DUN Tioman dan DUN Bukit Ibam.

2] Ketidaktelusan ini, jika boleh berlaku di satu kawasan maka tidak mustahil ia boleh berlaku di tempat yang lain pula. Tanggapan ini berasaskan hilangnya nilai integriti pada pelakunya. Tidak hairanlah 1001 lagi penipuan, penyelewengan dan keraguan berlaku termasuklah menggunakan pengundi warga asing, kertas undi awal yang tidak boleh dipantau dalam lokap, blackout dan lain - lain perkara yang mencetus rasa ragu dan hilang kepercayaan umum kepada sistem demokrasi negara.

3] Sebenarnya perkara seperti ini telah kedengaran dalam setiap kali PRU, cuma PRU13 dilihat sangat ketara. Tambahan pula berlaku dalam suasana rakyat terbanyak memberi sokongan dan menterjemahkannya kepada undi yang besar pada Pakatan Rakyat keseluruhannya sehingga meletakkan Barisan Nasional terpaksa membentuk kerajaan yang tidak popular.

4] Namun sistem "Westminster" yang bercirikan "First past the post" membolehkan BN membentuk kerajaan biarpun tidak memiliki undi popular. Justeru itu saya melihat PR pada masa akan datang setelah saya menilai pengalaman 6 kali PRU memerlukan "Undi Malaikat" bagi maksud menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU akan datang.

5] Allah SWT menjelaskan bahawa malaikat-Nya pernah turun membantu tentera Badar [313 orang] saat mereka berdepan dengan kekuatan musuh yang berlipat ganda [1000 orang]. Lihatlah bagaimana Allah swt menjelaskan situasi itu :

“(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.”

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).”

“(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,"

Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertakwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.”

Surah Ali Imran : 122 - 125

6] Meneliti pendedahan Allah SWT yang memberi kemenangan kepada tentera Badar melalui bantuan ketenteraan malaikat, meskipun mereka dalam serba kekurangan adalah berpaksi kepada beberapa perkara yang mesti dimiliki terlebih dahulu oleh mereka sebelum mendapat bantuan malaikat tersebut. Perkara yang saya maksudkan itu hanyalah 3 perkara:

Taqwa + Ikhtiar + tawakal

7] Adunan tiga perkara ini menjadikan mereka layak mendapat sokongan dan bantuan 3 - 5 ribu tentera malaikat. Lantaran itu saya menegaskan, kita juga mesti berusaha mendapat bantuan malaikat ini untuk menang mengatasi lawan. Jika kita yang terdiri dari saf pimpinan, petugas dan ahli jamaah memiliki takwa, ikhtiar dan tawakkal yang cukup dan jelas, tidak mustahil kita juga akan dibantu oleh malaikat yang turun mengundi dan memberikan kita lebihan majoriti 3 - 5 ribu undi insyaallah.

8] Hanya "undi malaikat" yang boleh membawa kita menang dan akhirnya mampu melaksanakan perubahan besar dalam negara kita. Namun "undi malaikat" hanya akan diperoleh jika dasar, tindakan, hala tuju perjuangan yang kita dokong adalah "patuh syariah" atau dalam ertikata lain ia tidak bertentangan dengan syariah.

9] Termasuklah parti dan aktiviti tahaaluf siasi kita. Walaupun ia dari parti non muslim, asal mereka tidak menentang dan bertentangan dengan syariah malah menepati prinsip tahaaluf siyasi, maka ia berhak mendapat rahmat Allah SWT. Seperti usaha non muslim bertahaaluf dengan kita untuk menentang rasuah, monopoli, penyalahgunaan kuasa, penginayaan dan sebagainya adalah dikategori berkonsepkan patuh syariah dalam aspek politik justeru Islam turut mengajar kita agar menentang rasuah dan penginayaan.

10] Ertinya tidak memadai dengan hanya bergantung kepada kekuatan material semata - mata tanpa menafikan betapa perlunya kita memperkukuhkan kewangan, jentera, bahan kempen, strategi dan sebagainya. Segalanya itu adalah faktor membantu kemenangan kita. Apa yang perlu diinsafi ialah kita mesti memiliki faktor penentu kemenangan iaitu Nusrah Allah SWT.

Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Ali-Imran 126)

Akhirnya, Pakatan Rakyat mesti bermula dari sekarang. Jangan meletakkan kedudukannya bertentangan dengan kehendak Allah SWT tuhan yang maha mencipta dan memberi rezeki. Termasuklah menyelesaikan isu kerusi bertindih dari awal agar tidak berlaku sengketa pada saat akhir yang merumitkan jentera untuk bekerja dan apa yang malang, ia akan membinasakan dan menghilangkan kekuatan kita ekoran sengketa yang berlaku.

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/ketua-pemuda-pas/19117-pru14--kita-perlukan-undi-malaikat#.UY6YsbWnCSo

Klon SMS: Celcom dakwa tidak terlibat-Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Berhad memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci mengenai talian pelanggan yang didakwa digunakan untuk menyebarkan SMS berunsur perkauman.

Rohizan Ismail, Ketua Media dan Hubungan Kerajaan dalam kenyataannya berkata, Celcom tidak terlibat atau bersubahat dalam mana-mana kegiatan penyebaran sms yang boleh mencetuskan keamanan negara.

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub mengadu telefon mereka telah diklon untuk menyebarkan sms palsu berunsur perkauman.

Ekoran itu, Salahudin menuntut Celcom memberikan penjelasan mengenainya kerana beliau menggunakan talian Celcom.

"Celcom menegaskan sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab dan berorientasikan pelanggan, pihak kami  amat menghormati privasi pelanggan," kata Rohizan dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Dalam siasatan awal, mereka mengesyaki ada pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan teknologi penyamaran (masking) dan menyebarkan SMS berunsur hasutan tersebut.

"Pihak kami akan bekerjasama dengan pelanggan bagi mengenalpasti mereka yang terlibat yang telah menyalahgunakan talian beliau kerana tindakan ini bertentangan dengan piagam pelanggan Celcom. 

"Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika siasatan kami mendapati ada unsur- unsur tersebut. 

"Kami sanggup melakukan apa sahaja bagi melindungi kepentingan para pelanggan kami dan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," kata kenyataan itu.

sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/19180-klon-sms-celcom-dakwa-tidak-terlibat#.UY6YrLWnCSo