SEJARAH KEMUNCULAN KEPELBAGAIAN MAZAHIB DAN AKIDAH
Terdapat pelbagai pendapat dan perbincangan yang telah
dibahaskan dalam pengkajian yang telah dibuat oleh para pengkaji ilmu akidah.
Daripada perbincangan-perbincangan ini menjadikan faktor kepada gangguan sama
ada dari dalam dan luar yang menggugat iman yang sebenar.
Berdasarkan daripada hadis Nabi Muhammad s.a.w :
"Orang-orang yahudi berpecah kepada 71 kumpulan. Satu
kumpulan masuk syurga dan 70 kumpulan masuk neraka. Orang Nasrani berpecah
kepada 72 kumpulan. 71 kumpulan ke neraka, satu kumpulan ke syurga.
Sesungguhnya umatku berpecah kepada 73 kumpulan. Satu puak ke syurga dan 72
kumpulan ke neraka." Lalu ditanya, "Wahai Rasulullah, siapakah mereka
itu?" Nabi Muhammad berkata, "Mereka adalah yang berada dalam
jemaah."
(Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah)
Daripada Abdullah bin mas'ud melaporkan :
Nabi Muhammad menggariskan satu garisan dengan kayu yang
dipegangnya. Kemudian baginda berkata, " Inilah jalan Allah dan jalan yang
betul." Baginda membuat garisan lagi di sebelah kanan dan kirinya.
Kemudian baginda berkata. "Jalan-jalan ini tidak ada satu pun daripadanya
melainkan ada syaitan yang mengajak ke arahnya." Kemudian Nabi Muhammad
membaca ayat Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya inilah jalanku, jalan
yang betul maka ikutlah. Jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain, nanti kamu
bercerai berai dari jalannya."
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal)
Berdasarkan daripada hadis Rasulullah tersebut, kini
masyarakat dan umat Islam sendiri berhadapan dengan kebenaran hadis Rasulullah
ini. Kebanyakan umat Islam mengambil jalan mudah untuk mempercayai dan
terpengaruh dengan fahaman-fahaman dan pemikiran yang direka oleh manusia
sendiri tanpa berpandukan dengan Al-Quran dan As-Sunnah.
Faktor lain pula adalah daripada niat jahat musuh-musuh
Islam yang berpura-pura mengaku Islam serta mencampuradukkan ajaran Islam
dengan ajaran-ajaran luar yang lain.
Terdapat faktor dan punca perpecahan yang kumpulan ini.
Antaranya adalah faktor dalaman dan luaran.
PUNCA DALAMAN
Para sahabat berselisih pendapat dalam perlantikan khalifah
selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka telah berpecah
kepada 3 pendapat :
- Pendapat pertama :
Khalifah itu dipilih dan dipersetujui oleh rakyat tanpa
mengira sama ada kabilah atau kelompok itu berpengaruh atau pun tidak. Pendapat
ini adalah daripada majoriti kaum Ansar. Mereka mencadangkan kaum Khazraj, Saad
bin Ubadah sebagai pemimpin umat Islam.
- Pendapat kedua :
Pemimpin itu dipilih daripada keluarga Nabi Muhammad
sendiri. Mereka mencadangkan Ali bin Abu Talib sebagai pemimpin Islam.
- Pendapat ketiga :
Mereka berpendapat bahawa khalifah dipilih oleh umat Islam
mesti daripada kalangan kaum Quraisy kerana kaum tersebut merupakan kabilah
yang paling berpengaruh.
Akhirnya pendapat ketiga disokong oleh majoriti umat Islam
yang menjadikan Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah yang pertama
selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.
PUNCA LUARAN
- Inidividu yang baru memeluk Islam dan mereka masih
berpegang pada ajaran agama lama atau amalan silam.
- Perancangan dan hasad kelompok jahat musuh Islam yang
merancang untuk merosakkan Islam.
- Penterjemahan buku-buku karya sarjana-sarjana Islam pada
pemerintahan Abbasiyyah. Proses penterjemahan ini mempengaruhi ilmu Islam
dengan kaedah yang tidak berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.
- Serangan ideologi yang pelbagai oleh penjajah dan
menghapuskan fahaman Islam yang sebenar.
(Petikan dan ringkasan daripada FAHAMAN DAN IDEOLOGI UMAT
ISLAM, oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang)