Thursday, February 5, 2015

FAHAMAN DAN IDEOLOGI UMAT ISLAM (1)

SEJARAH KEMUNCULAN KEPELBAGAIAN MAZAHIB DAN AKIDAH


Terdapat pelbagai pendapat dan perbincangan yang telah dibahaskan dalam pengkajian yang telah dibuat oleh para pengkaji ilmu akidah. Daripada perbincangan-perbincangan ini menjadikan faktor kepada gangguan sama ada dari dalam dan luar yang menggugat iman yang sebenar.


Berdasarkan daripada hadis Nabi Muhammad s.a.w :
"Orang-orang yahudi berpecah kepada 71 kumpulan. Satu kumpulan masuk syurga dan 70 kumpulan masuk neraka. Orang Nasrani berpecah kepada 72 kumpulan. 71 kumpulan ke neraka, satu kumpulan ke syurga. Sesungguhnya umatku berpecah kepada 73 kumpulan. Satu puak ke syurga dan 72 kumpulan ke neraka." Lalu ditanya, "Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu?" Nabi Muhammad berkata, "Mereka adalah yang berada dalam jemaah."

(Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah)

Daripada Abdullah bin mas'ud melaporkan :
Nabi Muhammad menggariskan satu garisan dengan kayu yang dipegangnya. Kemudian baginda berkata, " Inilah jalan Allah dan jalan yang betul." Baginda membuat garisan lagi di sebelah kanan dan kirinya. Kemudian baginda berkata. "Jalan-jalan ini tidak ada satu pun daripadanya melainkan ada syaitan yang mengajak ke arahnya." Kemudian Nabi Muhammad membaca ayat Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya inilah jalanku, jalan yang betul maka ikutlah. Jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain, nanti kamu bercerai berai dari jalannya."

 (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal)



Berdasarkan daripada hadis Rasulullah tersebut, kini masyarakat dan umat Islam sendiri berhadapan dengan kebenaran hadis Rasulullah ini. Kebanyakan umat Islam mengambil jalan mudah untuk mempercayai dan terpengaruh dengan fahaman-fahaman dan pemikiran yang direka oleh manusia sendiri tanpa berpandukan dengan Al-Quran dan As-Sunnah.


Faktor lain pula adalah daripada niat jahat musuh-musuh Islam yang berpura-pura mengaku Islam serta mencampuradukkan ajaran Islam dengan ajaran-ajaran luar yang lain.
Terdapat faktor dan punca perpecahan yang kumpulan ini. Antaranya adalah faktor dalaman dan luaran.


PUNCA DALAMAN

Para sahabat berselisih pendapat dalam perlantikan khalifah selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka telah berpecah kepada 3 pendapat :

  • Pendapat pertama :

Khalifah itu dipilih dan dipersetujui oleh rakyat tanpa mengira sama ada kabilah atau kelompok itu berpengaruh atau pun tidak. Pendapat ini adalah daripada majoriti kaum Ansar. Mereka mencadangkan kaum Khazraj, Saad bin Ubadah sebagai pemimpin umat Islam.

  • Pendapat kedua :

Pemimpin itu dipilih daripada keluarga Nabi Muhammad sendiri. Mereka mencadangkan Ali bin Abu Talib sebagai pemimpin Islam.

  • Pendapat ketiga :

Mereka berpendapat bahawa khalifah dipilih oleh umat Islam mesti daripada kalangan kaum Quraisy kerana kaum tersebut merupakan kabilah yang paling berpengaruh.



Akhirnya pendapat ketiga disokong oleh majoriti umat Islam yang menjadikan Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah yang pertama selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.


PUNCA LUARAN

- Inidividu yang baru memeluk Islam dan mereka masih berpegang pada ajaran agama lama atau amalan silam.

- Perancangan dan hasad kelompok jahat musuh Islam yang merancang untuk merosakkan Islam.

- Penterjemahan buku-buku karya sarjana-sarjana Islam pada pemerintahan Abbasiyyah. Proses penterjemahan ini mempengaruhi ilmu Islam dengan kaedah yang tidak berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

- Serangan ideologi yang pelbagai oleh penjajah dan menghapuskan fahaman Islam yang sebenar.


(Petikan dan ringkasan daripada FAHAMAN DAN IDEOLOGI UMAT ISLAM, oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang)

No comments:

Post a Comment