Wednesday, February 4, 2015

TAJDID HADHARI FIQH BERNEGARA


Oleh IZWAN ABDUL HALIM izwan@harakah.net.my

BANGI: Perbincang semula mengenai model pemerintahan Islam yang telah menjadi bukti kesejahteraan dan kemajuan tamadun manusia sebagaimana dicapai Kerajaan-kerajaan Islam terdahulu perlu disegarkan kembali kepada masyarakat, demikian menurut Pengerusi Darul Fuqaha, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri.
Beliau berkata demikian ketika menghurai tema “Tajdid Hadhari Fiqh Bernegara” pada Nadwah Ulama di Darul Fuqaha, Sungai Merab, di sini 3 Februari lalu.
“Sebagai contoh Al-Imam Hasan al-Banna mujahid pada abad kita pada hari ini. Beliau telah mengembalikan manusia untuk membincangkan mengenai Khilafah Islamiyah, yang sudah mula jatuh. Ertinya beliau bukan datangkan perkara baru, tetapi memperbaharui sesuatu yang mula dilupakan oleh manusia dalam alam penjajahan.
“Memperbaharui sesuatu yang sedia ada, dianggap lama, kusam, ditinggalkan, dilupakan, tak diingat oleh orang, orang mudah lupakan. Maka diperingatkan balik. Dalam hadis Nabi SAW sebut di setiap 100 tahun, datang orang yang akan mentajdidkan agama. Mentajdidkan agama bukan makna bawa agama yang baru. Agama yang dirasakan suram, agama orang dah lupa hukum hakam, diperingatkan balik.
“Bila kita sebut ‘tajdid hadhari’, bermaksud kita mahu memperbaharui balik satu ketamadunan, satu kehidupan perbandaran, maju, menggambarkan sistem negara yang hebat. Diperbaharui macam mana? Dalam konteks feqah bernegara,” terangnya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Menurutnya, masyarakat perlu didedahkan semula mengenai fiqh bernegara atau ilmu ketatanegaraan melibatkan pembentukan dan pentadbiran negara; pemilihan pemimpin; peranan kerajaan; pengurusan ekonomi, sumber dan kewangan; sosial kemasyarakatan; perundangan dan penguatkuasaan serta hubungan antarabangsa.
Ujarnya, sikap tidak mengambil tahu mengenai hal-hal tersebut adalah pemikiran yang salah dan mesti ditangani dengan menyeru perbincangan kembali kejayaan pemerintahan Islam selama 13 kurun dalam semua sudut agar tidak terus dilupakan.
Terang Ustaz Khairuddin, masyarakat kini dalam banyak bidangnya telah berkiblatkan kapitalis, liberal dan komunis, selain terpesona dengan sosialis serta terperangkap dengan demokrasi.
Kecelaruan ini katanya, hinggakan masyarakat melihat soal tata kelola urus tadbir negara baik (good governance) hanya dari sudut Barat tanpa melihat kebaikan yang banyak ditunjukkan para khulafak dan alim ulama Islam.
Melanjutkan perbincangan, beliau menghurai mengenai siyasah syariyyah yang menekankan bentuk urus tadbir oleh pemerintah dengan tujuan memperelok atau ‘islah’ menjadikan kehidupan masyarakat semakin baik mengikut syarak.
Perkara itu ujarnya, telah menjadi perbincangan para ulama dengan dimulai soal pemilihan ketua negara, di mana perkara itu turut dipandang enteng masyarakat Islam hari ini.
“Telah jadi ijmak, pemilihan ketua negara sebagai kekhalifahan adalah untuk mengganti tempat kenabian. Syarat utama mestilah Islam dan adalah idea pemikiran yang salah apabila memilih bukan Islam sebagai ketua dan bercanggah dengan siyasah Islam.
“Syarat ditegaskan juga oleh ulama sebagai syarat tambahan iaitulah seorang yang mampu berijtihad dari al-Quran dan as-Sunnah secara spontan yakni ada kemampuan mengistinbat hukum sebagai ketua negara dalam semua perkara.
“Kalau tiada (pemimpin mujtahid), tetap sah, tetapi dia perlu bergantung kepada ahlul halli wal aqd yang beri panduan nasihat pada khalifah serta ada kuasa memutuskan. Kalau khalifah itu sendiri mujtahid, ia satu kredit, ia awlawiyah. Jika tiada mujtahid, keimaman (ketua negara itu) tetap sah,” perjelas beliau.
Katanya, ketua negara mujtahid akan mampu memimpin semua perkara berkaitan kehidupan manusia dengan dasar yang menghadirkan rahmat untuk semua.
Malangnya ujar beliau, masyarakat hari ini diperintah kerajaan yang berpegang kepada sistem parlimen Barat dengan menjadikannya sebagai asas kenegaraan.
Beliau turut menempelak kaedah belanjawan negara pada masa yang berasaskan anggaran pendapatan dan perbelanjaan.
Jangkaan kerajaan menurutnya, bergantung kepada hasil minyak negara untuk pendapatan di mana penurunan harga minyak telah menjejaskan perancangan kewangan hingga Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan pengurangan RM5.5 bilion baru-baru ini.
Sedangkan belanjawan Islam katanya, dirangka berdasarkan wang dan hasil sedia ada dan mengutamakan hasil ekonomi untuk rakyat.
Beliau turut menegaskan kepentingan menyusun keseimbangan sosial antara kaum sebagaimana telah diteladankan Rasulullah ketika memimpin masyarakat Madinah yang pelbagai kaum.

No comments:

Post a Comment