Thursday, February 5, 2015

FAHAMAN DAN IDEOLOGI UMAT ISLAM (1)

SEJARAH KEMUNCULAN KEPELBAGAIAN MAZAHIB DAN AKIDAH


Terdapat pelbagai pendapat dan perbincangan yang telah dibahaskan dalam pengkajian yang telah dibuat oleh para pengkaji ilmu akidah. Daripada perbincangan-perbincangan ini menjadikan faktor kepada gangguan sama ada dari dalam dan luar yang menggugat iman yang sebenar.


Berdasarkan daripada hadis Nabi Muhammad s.a.w :
"Orang-orang yahudi berpecah kepada 71 kumpulan. Satu kumpulan masuk syurga dan 70 kumpulan masuk neraka. Orang Nasrani berpecah kepada 72 kumpulan. 71 kumpulan ke neraka, satu kumpulan ke syurga. Sesungguhnya umatku berpecah kepada 73 kumpulan. Satu puak ke syurga dan 72 kumpulan ke neraka." Lalu ditanya, "Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu?" Nabi Muhammad berkata, "Mereka adalah yang berada dalam jemaah."

(Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah)

Daripada Abdullah bin mas'ud melaporkan :
Nabi Muhammad menggariskan satu garisan dengan kayu yang dipegangnya. Kemudian baginda berkata, " Inilah jalan Allah dan jalan yang betul." Baginda membuat garisan lagi di sebelah kanan dan kirinya. Kemudian baginda berkata. "Jalan-jalan ini tidak ada satu pun daripadanya melainkan ada syaitan yang mengajak ke arahnya." Kemudian Nabi Muhammad membaca ayat Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya inilah jalanku, jalan yang betul maka ikutlah. Jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain, nanti kamu bercerai berai dari jalannya."

 (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal)



Berdasarkan daripada hadis Rasulullah tersebut, kini masyarakat dan umat Islam sendiri berhadapan dengan kebenaran hadis Rasulullah ini. Kebanyakan umat Islam mengambil jalan mudah untuk mempercayai dan terpengaruh dengan fahaman-fahaman dan pemikiran yang direka oleh manusia sendiri tanpa berpandukan dengan Al-Quran dan As-Sunnah.


Faktor lain pula adalah daripada niat jahat musuh-musuh Islam yang berpura-pura mengaku Islam serta mencampuradukkan ajaran Islam dengan ajaran-ajaran luar yang lain.
Terdapat faktor dan punca perpecahan yang kumpulan ini. Antaranya adalah faktor dalaman dan luaran.


PUNCA DALAMAN

Para sahabat berselisih pendapat dalam perlantikan khalifah selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka telah berpecah kepada 3 pendapat :

  • Pendapat pertama :

Khalifah itu dipilih dan dipersetujui oleh rakyat tanpa mengira sama ada kabilah atau kelompok itu berpengaruh atau pun tidak. Pendapat ini adalah daripada majoriti kaum Ansar. Mereka mencadangkan kaum Khazraj, Saad bin Ubadah sebagai pemimpin umat Islam.

  • Pendapat kedua :

Pemimpin itu dipilih daripada keluarga Nabi Muhammad sendiri. Mereka mencadangkan Ali bin Abu Talib sebagai pemimpin Islam.

  • Pendapat ketiga :

Mereka berpendapat bahawa khalifah dipilih oleh umat Islam mesti daripada kalangan kaum Quraisy kerana kaum tersebut merupakan kabilah yang paling berpengaruh.



Akhirnya pendapat ketiga disokong oleh majoriti umat Islam yang menjadikan Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah yang pertama selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.


PUNCA LUARAN

- Inidividu yang baru memeluk Islam dan mereka masih berpegang pada ajaran agama lama atau amalan silam.

- Perancangan dan hasad kelompok jahat musuh Islam yang merancang untuk merosakkan Islam.

- Penterjemahan buku-buku karya sarjana-sarjana Islam pada pemerintahan Abbasiyyah. Proses penterjemahan ini mempengaruhi ilmu Islam dengan kaedah yang tidak berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

- Serangan ideologi yang pelbagai oleh penjajah dan menghapuskan fahaman Islam yang sebenar.


(Petikan dan ringkasan daripada FAHAMAN DAN IDEOLOGI UMAT ISLAM, oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang)

Wednesday, February 4, 2015

DERITA UMAT ISLAM CHECHEN YANG TAK DIPEDULIKAN

Oleh:Dr Riduan Mohamad Nor.
Salju seperti sedang runtuh daripada langit saat kami menghampiri kawasan pelarian Chenchen yang berada di pinggir bandar Warsaw, Poland. Dingin mengigit tulang temulang sehingga mencecah minus 13, tapi perasaan ingin mengenali teman-teman seakidah menyebabkan kami terlupa sebentar rasa sejuk menciut itu. Poland bukanlah negara yang bersahabat dengan Islam, fenomena Islamphobia masih merajai negara bekas komunis dan juga negara pertama disergap Perang Dunia kedua sehingga Kota Warsaw musnah 80 peratus dibaham ledakan skala besar pihak Nazi Jerman. Poland juga antara sketsa berdarah “holocaust” yang dilakukan oleh  Adolf Hitler dan bala tenteranya kerana kelompok Yahudi yang masih berbaki di negara yang bersempadan dengan Rusia itu.


Sakibaki Yahudi di Poland hari ini juga terkenal sebagai kelompok tegar pembenci Islam termasuk tanpa berselindung menunjukkan rasa jengkel mereka terhadap pelarian Islam dari bumi Chenchen, Rusia. Sejarah Islam di Rusia bukanlah baru, kerana semenjak zaman Khulafa ar Rasyidin telah menyaksikan perang di Armenia dan Azebaijan, iaitu di zaman Saidina Uthman . Usai perang besar inilah berlakunya penyusunan al Quran kali kedua dan gerakan dakwah secara besaran juga berlaku di kawasan Asia Tengah ini di zaman Muawiyyah Bin Abu Suffian.
Sejarah Islam juga menyaksikan bagaimana hebatkan tentera tartar atau Monggul dari kawasan Asia Tengah menyerang Wilayah Islam di Asia Barat sehingga perlawanan sengit yang menumpahkan darah serta melenyapkan bukti tamadun emas yang dibina oleh pemerintahan Islam. Baghdad antara saksimata kekejaman tentera Tartar membakar kota dan memunggah kitab-kitab ilmu ke dalam Sungai Furat sehingga sungai menjadi hitam airnya. Mereka mara sehingga ke Wilayah Syam dan memaksa ulama Islam bersama para pemuda menjulang panji Jihad, meneriakkan takbir dan menjadi benteng kepada ummah. Bangsa yang zalim berbadan besar ini akhirnya telah memeluk Islam dan akhirnya menyemarakkan dakwah di rantau Sub Continent dan juga Asia Tengah. Islam telah mengubah sakhsiah dan cara hidup bangsa Tartar ini yang mendiami Asia Tengah.
MUSLIM CARE MENYANTUNI PELARIAN CHENCHEN.
Berbeza dengan peta luka umat Islam yang lain, maklumat dan bantuan lebih cepat sampai dan digerakkan oleh NGO-NGO kemanusiaan dari Malaysia, sifat pemurah rakyat Malaysia dan keprihatinan jaringan sivil negara ini antara terbaik di dunia muslim. Derita umat Islam Chenchen sangat jarang sampai ke telinga rakyat negara ini, penulis teringatkan sekitar pertengahan tahun 1990an, beberapa kali demonstrasi membantah kezaliman regim Russia diadakan . Segelintir pelajar-pelajar dari bumi Grozny dibawa belajar di Universiti Islam Antarabangsa ketika perang semakin memburuk,di Chenchen. Gerakan perlawanan dan jihad di Chenchen juga kurang mendapat liputan media negara ini, berbanding dengan sorotan berita gerakan jihad di Afghanistan, Palestin, Syria dan Bosnia.
Regim Soviet dengan segala kelengkapan perang telah menyerang Grozny dan membunuh serta melakukan pelbagai bentuk kezaliman terhadap umat Islam Chenchen. Ribuan terkorban , ribuan muslimah  dirogol dan kampung-kampung muslim dikosongkan regim komunis. Kesannya ramai yang cuba untuk berhijrah keluar negara, termasuk ke Poland yang berjiran dengan Russia. Di pinggir bandar Warsaw, pelarian muslim ini berada di khemah pelarian tertutup dimana mereka tidak dibenarkan untuk menerima tetamu luar serta disekat akses dengan pihak lain. Lebih menyayat hati, makanan haram seperti babi menjadi sumber protein mereka dengan alasan murah dan menjimatkan pihak pengurusan kem.
Muslim Care Malaysia yang mendapat maklumat tentang keberadaan pelarian Chenchen di Poland melalui Persatuan Pelajar, rakyat Malaysia di Poland dan juga mendapat kerjasama yang baik daripada pejabat Mufti Poland akhirnya menggerakkan kempen bantuan musim sejuk. Pelajar-pelajar Malaysia di luar negara juga turut bekerjasama mengadakan kempen membantu pelarian serta merangka bentuk  bantuan jangkapendek. Di tanahair kita , selain Muslim Care menggerakkan kempen melalui siber, para pendakwah selebriti seperti Ustaz Ahmad Dasuki Rani, Ustaz Halim Din turut membantu mendapatkan dana kempen. Sebanyak 100 ribu ringgit berjaya dikumpulkan dan diserahkan kepada pelarian Chenchen dalam kempen misi musim sejuk.
Rombongan Muslim Care dan relawan yang terdiri daripada pelajar Malaysia telah melakukan pelbagai program disepanjang misi termasuk melawat sekolah pelarian, menyantuni mangsa peperangan yang dhaif, program bersama Mufti Poland, serta ramah mesra bersama pelarian . Saya terbayang guratan wajah gembira anak-anak kecil yang disantuni anggota misi serta curahan pengalaman warga dewasa pelarian tentang bahasa kesakitan dan kezaliman Russia terhadap umat Islam. Bumi Chenchen tetap mendakap relung hati mereka walau kebarangkalian untuk kembali menghirup udara nyaman tanah leluhur mereka sangat tipis.

(Penulis ialah aktivis bantuan kemanusiaan tanpa sempadan dan Exco Muslim Care Malaysia)

TAJDID HADHARI FIQH BERNEGARA


Oleh IZWAN ABDUL HALIM izwan@harakah.net.my

BANGI: Perbincang semula mengenai model pemerintahan Islam yang telah menjadi bukti kesejahteraan dan kemajuan tamadun manusia sebagaimana dicapai Kerajaan-kerajaan Islam terdahulu perlu disegarkan kembali kepada masyarakat, demikian menurut Pengerusi Darul Fuqaha, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri.
Beliau berkata demikian ketika menghurai tema “Tajdid Hadhari Fiqh Bernegara” pada Nadwah Ulama di Darul Fuqaha, Sungai Merab, di sini 3 Februari lalu.
“Sebagai contoh Al-Imam Hasan al-Banna mujahid pada abad kita pada hari ini. Beliau telah mengembalikan manusia untuk membincangkan mengenai Khilafah Islamiyah, yang sudah mula jatuh. Ertinya beliau bukan datangkan perkara baru, tetapi memperbaharui sesuatu yang mula dilupakan oleh manusia dalam alam penjajahan.
“Memperbaharui sesuatu yang sedia ada, dianggap lama, kusam, ditinggalkan, dilupakan, tak diingat oleh orang, orang mudah lupakan. Maka diperingatkan balik. Dalam hadis Nabi SAW sebut di setiap 100 tahun, datang orang yang akan mentajdidkan agama. Mentajdidkan agama bukan makna bawa agama yang baru. Agama yang dirasakan suram, agama orang dah lupa hukum hakam, diperingatkan balik.
“Bila kita sebut ‘tajdid hadhari’, bermaksud kita mahu memperbaharui balik satu ketamadunan, satu kehidupan perbandaran, maju, menggambarkan sistem negara yang hebat. Diperbaharui macam mana? Dalam konteks feqah bernegara,” terangnya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Menurutnya, masyarakat perlu didedahkan semula mengenai fiqh bernegara atau ilmu ketatanegaraan melibatkan pembentukan dan pentadbiran negara; pemilihan pemimpin; peranan kerajaan; pengurusan ekonomi, sumber dan kewangan; sosial kemasyarakatan; perundangan dan penguatkuasaan serta hubungan antarabangsa.
Ujarnya, sikap tidak mengambil tahu mengenai hal-hal tersebut adalah pemikiran yang salah dan mesti ditangani dengan menyeru perbincangan kembali kejayaan pemerintahan Islam selama 13 kurun dalam semua sudut agar tidak terus dilupakan.
Terang Ustaz Khairuddin, masyarakat kini dalam banyak bidangnya telah berkiblatkan kapitalis, liberal dan komunis, selain terpesona dengan sosialis serta terperangkap dengan demokrasi.
Kecelaruan ini katanya, hinggakan masyarakat melihat soal tata kelola urus tadbir negara baik (good governance) hanya dari sudut Barat tanpa melihat kebaikan yang banyak ditunjukkan para khulafak dan alim ulama Islam.
Melanjutkan perbincangan, beliau menghurai mengenai siyasah syariyyah yang menekankan bentuk urus tadbir oleh pemerintah dengan tujuan memperelok atau ‘islah’ menjadikan kehidupan masyarakat semakin baik mengikut syarak.
Perkara itu ujarnya, telah menjadi perbincangan para ulama dengan dimulai soal pemilihan ketua negara, di mana perkara itu turut dipandang enteng masyarakat Islam hari ini.
“Telah jadi ijmak, pemilihan ketua negara sebagai kekhalifahan adalah untuk mengganti tempat kenabian. Syarat utama mestilah Islam dan adalah idea pemikiran yang salah apabila memilih bukan Islam sebagai ketua dan bercanggah dengan siyasah Islam.
“Syarat ditegaskan juga oleh ulama sebagai syarat tambahan iaitulah seorang yang mampu berijtihad dari al-Quran dan as-Sunnah secara spontan yakni ada kemampuan mengistinbat hukum sebagai ketua negara dalam semua perkara.
“Kalau tiada (pemimpin mujtahid), tetap sah, tetapi dia perlu bergantung kepada ahlul halli wal aqd yang beri panduan nasihat pada khalifah serta ada kuasa memutuskan. Kalau khalifah itu sendiri mujtahid, ia satu kredit, ia awlawiyah. Jika tiada mujtahid, keimaman (ketua negara itu) tetap sah,” perjelas beliau.
Katanya, ketua negara mujtahid akan mampu memimpin semua perkara berkaitan kehidupan manusia dengan dasar yang menghadirkan rahmat untuk semua.
Malangnya ujar beliau, masyarakat hari ini diperintah kerajaan yang berpegang kepada sistem parlimen Barat dengan menjadikannya sebagai asas kenegaraan.
Beliau turut menempelak kaedah belanjawan negara pada masa yang berasaskan anggaran pendapatan dan perbelanjaan.
Jangkaan kerajaan menurutnya, bergantung kepada hasil minyak negara untuk pendapatan di mana penurunan harga minyak telah menjejaskan perancangan kewangan hingga Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan pengurangan RM5.5 bilion baru-baru ini.
Sedangkan belanjawan Islam katanya, dirangka berdasarkan wang dan hasil sedia ada dan mengutamakan hasil ekonomi untuk rakyat.
Beliau turut menegaskan kepentingan menyusun keseimbangan sosial antara kaum sebagaimana telah diteladankan Rasulullah ketika memimpin masyarakat Madinah yang pelbagai kaum.