Saturday, May 11, 2013

Johor Bukan Lagi Kubu Barisan Nasional-Nusajayakini


Johor Bukan Lagi Kubu Barisan Nasional

Posted by Nusajaya Kini on 11 Mei 2013 | 0 komen pembaca

KUALA LUMPUR, 10 Mei — Johor bukan lagi kubu kuat Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya baru-baru ini dan PAS akan terus mengasak tempat kelahiran parti Umno tersebut, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Salahuddin juga menyatakan komitmennya untuk terus berkempen di Johor dan menjadikan negeri tersebut destinasi tetap walaupun tewas di kedua-dua kerusi yang ditandinginya memandangkan sokongan kuat yang diterimanya pada pilihan raya baru-baru ini.

“Selepas ini, hidup dan mati saya adalah di Johor, saya akan fokus untuk bantu PAS di sini.

“Walaupun tewas di kerusi Nusa Jaya dan Pulai, sokongan pengundi di kawasan itu meningkat malahan saya hanya tewas kerana undi awal dan pos,” kata Salahuddin dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS di sini.

Salahuddin tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusa Jaya hanya dengan majoriti 2,201 kepada calon BN, manakala di kerusi Parlimen Pulai pula beliau tewas sebanyak 3,226 majoriti, satu pencapaian yang baik berbanding pada tahun 2008 dahulu.

Di samping itu, Salahuddin juga mengganggap prestasi keseluruhan Pakatan Rakyat (PR) di negeri Selatan semenanjung tersebut adalah membanggakan selepas berjaya memenangi 18 daripada 56 kerusi dewan undangan negeri (DUN) negeri tersebut.

“Bagi saya prestasi Pakatan di Johor sangat membanggakan dengan kemenangan 18 kerusi Dun.

“Malah sehingga kini, tiada pemerhati dan penganalisis berani mengatakan Johor adalah kubu kuat BN lagi... malah, banyak kerusi yang ditandingi Pakatan tewas tipis sahaja,” tambahnya lagi.

Menurut Salahuddin lagi, taraf negeri Johor kini adalah sama seperti negeri Kedah, Perak dan Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya 2013, di mana ia dianggap sebagai kerusi boleh menang PR pada pilihan raya yang mendatang.

Dalam isu berasingan, Salahuddin memberitahu wartawan bahawa nombor telefonnya telah diklon dan menyebabkan beberapa pesanan ringkas berbau perkauman disebarkan.

Salahuddin berkata satu laporan polis sudah dibuat Kota Bharu semalam, serta pada masa sama menggesa pihak pengendali talian telefonnya Celcom tampil membuat penjelasan kepada orang ramai supaya imejnya tidak tercalar akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang berbuat demikian.

“Saya harap Celcom membuat penjelasan tentang perkara ini.

“Ia telah melanggar hak peribadi saya di samping menghantar pesanan ringkas yang tidak pernah saya sendiri tulis,” kata Salahuddin lagi.

BN memenangi 133 berbanding 222 kerusi yang dipertandingkan untuk parlimen, menurun tujuh kerusi, kepada pembangkang jika dibandingkan dengan keputusan Pilihan Raya 2008.

Daripada 89 kerusi dimenangi PR, DAP memperolehi kerusi terbesar dengan 38 kerusi.

BN turut hilang undi popular kepada PR — pertama kali sejak 1969 ketika parti itu dikenali sebagai Parti Perikatan.

No comments:

Post a Comment