Saturday, April 20, 2013

Salahudin lawan Nur Jazlan satu lawan satu di Pulai


(Salahudin bersama calon Pakatan diiringi ke pusat penamaan calon)

JOHOR BAHRU: Calon PAS bagi parlimen P161 Pulai Salahudin Ayub tiba di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Jalan Ayer Molek di sini kira-kira jam 8.45 pagi ini.

Beliau yang mengenakan Baju Melayu merah bersamping dan bersongkok, tiba di sini diiringi hampir 1,000 penyokong.

Turut bersamanya calon Dewan Undangan Negeri (Dun) N46 Pengkalan Rinting dari DAP Cheo Yee How.

Terdahulu mereka berkumpul di Masjid Negeri, Masjid Sultan Abu Bakar sebelum bergerak ke sini yang berjarak lebih kurang satu kilometer.

Salahudin dilihat masuk ke pusat penamaan calon kira-kira jam 9.05 pagi.

(Salahudin bersama calon-calon yang bertanding di Pulai)

Beliau diiringi pencadangnya Alias Abdullah serta penyokong Dzulkifli Suleiman.

Cheo pula diiringi pencadangnya Leo Ah Hio dan penyokong Yueng Din Hin.

Seorang lagi calon PAS iaitu bagi N47 Kempas, Suhaizan Kaiat bagaimanapun hanya diwakili pencadang Abdullah Hassan dan penyokong Md Sadakah Abdullah kerana terpaksa ke satu lagi pusat penamaan calon sebagai Calon Simpang Renggam.

Sementara itu, hampir 700 penyokong terdiri daripada PAS dan DAP hadir mengiringi calon Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Mereka membawa bendera parti masing-masing sambil melaungkan slogan 'hidup rakyat, 5 Mei, Ubah'.

Di sebelah penjuru satu lagi, penyokong BN dengan kekuatan hampir serupa turut mengambil tempat.

Mereka mengiringi calon mereka iaitu penyandang Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Hampir 100 anggota polis berkawal di sini hari ini.

Kedua-dua penyokong dipisahkan dengan jarak hampir 100 meter dengan anggota keselamatan berkawal di tengah-tengah mereka.

Satu lawan satu
(Suhaizan [kiri sekali] akan melawan Tengku Putra Haron [kanan sekali] dari BN)

SPR mengumumkan pertandingan satu lawan satu bagi Parlimen Pulai antara Salahudin dengan Nur Jazlan.

Untuk DUN Pengkalan Rinting Cheo Yee How dari DAP juga akan berlawan satu lawan satu dengan Chan Mei Kie dari BN.

Untuk DUN Kempas pula, Suhaizan Kaiat dari PAS akan melawan Tengku Putra Haron Aminurrashid dari BN.

No comments:

Post a Comment