Monday, July 1, 2013

SEKULARISM

Pengenalan

Jacob Holyoake (1817-1906)
Sekularism ialah prinsip pemisahan antara jabatan kerajaan & individu yang bertanggungjawab terhadapnya dengan institusi agama & pimpinan agama. Ia berasal dari Falsafah Greek & Rom. Namun, perkataan “Sekular” mula digunakan oleh seorang penulis British bernama Jacob Holyoake pada tahun 1851.

Fahaman sekular mula digunapakai secara meluas di Eropah pada Zaman Pencerahan iaitu kurun ke-17 & 18 untuk menentang salah guna kuasa oleh gereja Kristian pada zaman itu. Ini berpunca daripada sikap pihak Gereja ketika itu yang sangat mencengkam dan kukubesi. Atas kezaliman yang berlaku, penentangan demi penentangan dimulakan, bermula dengan penentangan golongan Protestan terhadap autoriti ‘Pope’ & beberapa ajaran Kristian, sehinggalah kepada bermulanya gerakan Pencerahan (Enlightenment) yang mempersoalkan agama Kristian itu sendiri.  Antara tokoh yang terlibat memulakan gerakan ini ialah Isaac Newton (1643-1727).
Isaac Newton (1643-1727)

Hasil dari gerakan ini, maka bermulalah gerakan-gerakan penentangan terhadap gereja yang akhirnya mencetuskan revolusi di beberapa negara Eropah. Zaman pencerahan ini telah memberi kesan yang besar kepada budaya, politik, dan pemerintahan kerajaan di Barat.  

Prinsip Sekularism

Sekularism diaplikasikan melalui 3 aspek; negara, masyarakat dan etika.

a) Negara Sekular
     Ia bermaksud mengurangkan apa-apa kaitan antara negara dengan agama. Melalui tindakan ini, undang-undang berasaskan kitab agama seperti Al-Quran atau Bible dihapuskan dan digantikan dengan  undang-undang sivil. Sekularis berhujah mengatakan tindakan sedemikian boleh menguatkan demokrasi dengan menghapuskan diskriminasi berasaskan agama.

Hasil dari ini, golongan Sekularis menyokong pemimpin politik negara yang membuat keputusan bukan berasaskan agama. Maka terhasillah undang-undang seperti membenarkan perkahwinan sejenis, membenarkan arak & judi yang berlesen, dan sebagainya.

b) Masyarakat sekular
Ia bermaksud memisahkan nilai dan pandangan agama dari diri masyarakat dalam membuat apa-apa keputusan. Maka, setiap individu dalam masyarakat bebas dalam tindakan masing-masing asalkan tidak melanggar apa-apa perkara yang telah dipersetujui bersama seperti undang-undang, perlembagaan atau etika yang disepakati.

c) Etika sekular
Etika atau nilai Sekular bermaksud mengasaskan nilai moral hanya melalui logik, punca, dan intuisi moral, dan tidak diambil dari sumber-sumber agama. Bagi sekularis seperti George Holyoake, nilai agama tidak relevan pun untuk diambil kira dalam menentukan etika individu, kumpulan atau komuniti. (dari buku English Secularism tulisan beliau)

Dari nilai sekular inilah lahir fahaman seperti humanism & ‘freethinking’. Kesemuanya berpendapat bahawa idea dan pendapat haruslah lahir dari logik, sebab-musabab dan nilai empirik, dan bukan dari tradisi atau kepercayaan semata-mata.

Sekularism dan Islam

Islam menolak Sekularism atas dasar bahawa tiada pemisahan antara agama dengan pemerintahan. Bahkan lebih dari itu, Islam menetapkan bahawa pemerintah seharusnya menerapkan nilai Islam dalam pemerintahan dan bukan menghapuskannya. Dalil tiada pemisahan ini boleh didapati dalam Al-Quran dan As-Sunnah:

Maksudnya: dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita Yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.
(An-Nahl: 89)

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara sempurna. Dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah Syaitan. Sesungguhnya dia musuh kamu yang nyata.
(Al-Baqarah: 208)

Dalam aspek kenegaraan pula, Islam telah meletakkan beberapa prinsip sebagai garis panduan dalam mentadbir urusan pemerintahan, antaranya menunaikan amanah, keadilan dalam hukuman, ketaatan kepada Allah swt & RasulNya, merujuk kepada Allah swt & RasulNya (Islam) sekiranya berlaku perselisihan faham, dan tidak berpandukan Hukum Taghut.

Maksudnya: 
58. Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
59. Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
60. Tidakkah Engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka Dengan kesesatan yang amat jauh.
(An-Nisa 58-60)

Selain itu, Allah swt menyuruh Umat Islam supaya mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan melakukan Amar Ma'ruf Nahi Munkar sekiranya diberikan kekuasaan.

Maksudnya: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
(Al-Haj: 41)

Allah swt juga menyuruh Umat Islam menyediakan kekuatan ketenteraan untuk menggerunkan musuh-musuh Islam.

Maksudnya: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) Segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.
(Al-Anfal:60)

Konsep pemimpin bertanggungjawab terhadap yang dipimpin telah disebut dalam Hadis Nabi Muhammad SAW:
(كلكم راع و كلكم مسؤل عن رعيته , فالامام راع وهو مسؤل عن رعيته (متفق عليه
Maksudnya: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap sesiapa yang dipimpinnya. Seorang imam ialah seorang pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap sesiapa yang dipimpinnya.(Muttafaqun alaihi)

Lihat pula lembaran Sirah. Nabi Yusuf AS menjawat jawatan sebagai penjaga perbendaharaan Mesir. Nabi Sulaiman AS memiliki kerajaan yang tiada tolok bandingnya. Nabi Muhammad SAW pula mentadbir negara Madinah dengan adil dan saksama.

Kita lihat pula pendapat ulama-ulama muktabar dalam hal ini:

Asy-Syahid Sayyid Qutb dalam kitabnya Maalim fi at-Tariq telah menyebutkan: Dimaksudkan dengan kerajaan Allah di muka bumi ialah kerajaan yang menjadikan Syariat Allah sebagai dasar hukum. Seluruh perkara yang berlaku dalam kerajaan itu dirujuk kepada ketetapan dan syariat Allah sahaja.

Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi pula di dalam Kitab Fiqh Daulah telah menyebut: 
Negara Islam berdiri atas tiga prinsip: kesatuan negara, kesatuan dalam sumber rujukan tertinggi, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, dan kesatuan dalam kepimpinan pusat yang diwakili oleh seorang pemimpin besar atau seorang khalifah yang memimpin negara Mukminin dengan ajaran dan perundangan Islam.

Beliau juga turut menyelar sekularism dalam karangannya itu. Beliau menyebut:
Sekularism merupakan satu konsep yang bercanggah dengan agama, pemikiran, dan kemaslahatan umat. Sekularismelah yang telah menghilangkan potensi besar yang terkandung dalam Aqidah dan Syariah Islam. 

Dinukilkan juga oleh Sheikh Muhammad Ali Al-Khatib dalam Kitab Nazarat Fi Risalah At-Taalim bahawa Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna menyebut:
Islam itu sistem yang syumul merangkumi kesemua aspek keduniaan. Ialah negara dan tanah air atau kerajaan dan umat. Dan ialah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Dan ialah kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Dan ialah material dan kebendaan atau usaha dan kekayaan. Ialah jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Sepertimana ia adalah Aqidah yang sebenar dan Ibadah yang sebenar tanpa ada bezanya.

Realiti Sekularism Zaman Kontemporari

Sekularism dipraktikkan di kebanyakan negara di dunia, khususnya Eropah dan Amerika Syarikat. Di negara-negara ini, kita dapat lihat hasil pelaksanaan pemikiran Sekularism.

Pemisahan kehidupan dengan agama tidak memberi keuntungan kepada perkembangan sosial
masyarakat. Dalam aspek ini, pelbagai masalah telah berlaku. Zina berleluasa tanpa kawalan. Hubungan luar nikah menjadi perkara yang biasa dan tiada rasa bersalah melakukannya. Video lucah disebar tanpa rasa malu. Arak menjadi minuman harian. Samseng berleluasa. Prinsip ‘tidak ditangkap tidak salah’ menjadi pegangan anak muda untuk mencuba melakukan jenayah selagi mana tidak ditangkap Polis.

Dalam aspek politik pula, kita dapat lihat bagaimana politik kotor, konspirasi, dan politik ‘jatuh-menjatuhkan’ berlaku. Apabila tiada agama yang menjadi pegangan bersama, maka pembangkang akan tetap membangkang apa sahaja walaupun apa yang kerajaan laksanakan itu baik. Tiada nilai akhlak dalam persaingan. Maka Machiavellianism diamalkan secara meluas. Penipuan, rasuah, kronism, dan apa sahaja cara akan digunakan demi mencapai matlamat menguasai pentadbiran. Akhirnya, negara musnah dan huru-hara, semuanya berpunca dari pemikiran sekular ini.

Dari sudut ekonomi pula, kita menyaksikan bagaimana riba berleluasa. Tiada sikap saling mempercayai antara pembeli dan penjual, yang ada hanya konsep ‘bagaimana mahu mencari untung maksimum dengan usaha yang minimum’. Persaingan antara syarikat bukan lagi sekadar persaingan, tetapi telah menjadi permusuhan yang tidak akan reda. Tiada lagi istilah persaingan sihat. Individu pula sentiasa mencari peluang untuk mengaut keuntungan peribadi, kadangkala dengan cara menggelapkan wang syarikat. Tiada sifat Taqwa dalam diri.

Aspek perundangan tidak lepas dari kebobrokan. Golongan yang membuat undang-undang membuatnya untuk kepentingan sendiri dan bukan rakyat. Pelaksana undang-undang pula sentiasa mencari ‘loophole’ atau lompongan dalam undang-undang buat mereka melepaskan diri. Kesedaran yang ada bukanlah untuk mengikut undang-undang kerana ia peraturan, tetapi hanya mengikut undang-undang kerana takut dihukum. Maka, apabila mereka yakin boleh terlepas dari hukuman, undang-undang akan dilanggar sesuka hati. Hakim pula dengan mudah dibayar dan dipengaruhi supaya berat sebelah.

Aspek pentadbiran juga rosak akibat Sekularism. Pentadbir urusan rakyat mengambil peluang dengan autoriti yang diberi untuk ‘berjual-beli’ dengan rakyat, sedangkan sepatutnya seorang pentadbir berkhidmat untuk rakyat. Rakyat diperas dengan cukai dan bayaran perkhidmatan yang membebankan. Wang rakyat pula diambil untuk kepentingan sendiri atas nama ‘komisen’ atau nama lain untuk menghalalkannya. 

Kesimpulan

Sekularism bukan berasal dari Islam. Dalam masa yang sama, ia juga tidak bertepatan dengan ajaran Islam. Negara Barat mengamalkan Sekularism hasil dari kezaliman dan penindasan gereja Kristian, dan sejarah ini tidak pernah berlaku dalam agama Islam. Tiada alasan mengapa Umat Islam harus mencedok fahaman ini dari Barat.

Pemisahan agama Islam dan pentadbiran tiada faedahnya sama sekali. Sejarah telah membuktikan negara-negara yang mengamalkan Sekularism, jika boleh dianggap maju sekalipun, tidak akan mampu mencapai kemajuan yang seimbang antara material dan aspek sosial dan moral masyarakat.

Bagaimana Kita Boleh Terjebak dengan Sekularism

Prinsip Sekularism ialah pemisahan agama dari hal-ehwal kehidupan. Maka, segala apa tindakan yang memisahkan kehidupan dari agama boleh menjebakkan kita ke dalam kancah Sekularism. Berikut merupakan beberapa contoh bagaimana Sekularism mempengaruhi hidup manusia:

1-Menganggap cukup Islam seseorang dengan ibadah khusus sahaja. (seperti solat, puasa, haji, & zakat sahaja) Sedangkan Islam meliputi seluruh aspek kehidupan.

2-Menolak konsep dosa pahala dalam perkara dunia contohnya menolak konsep dosa pahala dalam politik dan pekerjaan.

3-Mengenepikan pandangan agama & ulama dari kehidupan. Contohnya peraturan membenarkan perkahwinan sejenis yang secara jelas dilarang Islam.

4-Menggunakan logik akal sahaja untuk membuat keputusan dalam apa-apa masalah. Pandangan agama hanya digunakan untuk menguatkan apa yang boleh diterima akalnya sahaja. Pandangan agama yang bertentangan dengan logik dirinya ditolak.

5-Melaksanakan apa sahaja urusan dunia tanpa mengambil kira hukum agama contohnya menyertai perniagaan berasaskan Riba.

Secara asasnya, apa-apa sahaja fahaman yang memisahkan agama dari dunia, boleh digolongkan dalam Sekularism. 

Resolusi Untuk Tindakan Kita

1-Bersama menjauhkan diri dan masyarakat dari menganut fahaman Sekular.
2-Menyebarkan kebahayaan fahaman ini seluas yang mungkin supaya semua Umat berjaga-jaga.
3-Menyertakan diri berjuang bersama barisan pejuang-pejuang Islam yang berjuang menentang penyebaran dan penerapan fahaman sesat ini.
4-Berdoa kepada Allah swt supaya kita dan Umat Islam dijauhkan dari kesesatan fahaman Sekular atau kesesatan lain.

Sebarang komen sangatlah dialu-alukan. :)

Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment