Saturday, July 13, 2013

ISLAM DAN LIBERALISM

PENGENALAN

Liberal ialah satu perkataan bahasa Lartin yang bermaksud bebas. Liberalism pula merujuk kepada falsafah politik yang berasaskan kebebasan dan kesamarataan. Ia mula timbul pada zaman pencerahan Barat (Age of Enlightenment) iaitu kurun ke-17 dan 18. Ia timbul dan mendapat tempat di hati rakyat Eropah kerana mereka ingin bebas dari cengkaman kuku besi gereja yang menindas dan menzalimi hak individu.

Secara asasnya, Liberalis menekankan aspek kebebasan dan kesamarataan. Ini termasuk dalam aspek hak individu, kebebasan beragama, kebebasan bersuara, dan lain-lain.


GERAKAN LIBERALISM DALAM ISLAM


Gerakan untuk me’liberal’kan Islam telah lama bermula. Beberapa badan bukan kerajaan seperti Sisters in Islam (SIS), Jaringan Islam Liberal (JIL), dan lain-lain telah bergerak dalam menyebarkan fahaman ini. Bahkan, istilah ‘Islam Liberal’ juga telah dipopularkan dan disebarkan secara meluas.

Isu yang dimainkan oleh Liberalis Muslim ini berkisar tentang perkara-perkara berikut:

1-Berpegang kepada konsep Pluralism.

Ini bermaksud mengiktiraf bahawa semua agama itu boleh diterima atas alasan bahawa semuanya menuju kepada satu Tuhan (ultimate reality), cuma melalui wasilah yang berbeza.

Konsep ini sangat jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Al-Quran telah jelas menyebutkan bahawa hanya Islam sahaja yang diterima di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. (Ali Imran: 19)
Maksudnya: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada Hari Akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Ali Imran: 85)

2-Mempersoalkan Al-Quran dan Hadis.

Liberalis menekankan penggunaan akal untuk penentuan hukum Syariat. Justeru, mereka akan menolak hukum Syariat yang telah jelas disebutkan di dalam Al-Quran dan Hadis dengan alasan ia ‘tidak sesuai dengan keadaan semasa’. Mereka juga menolak Mukjizat yang seperti peristiwa Isra Mikraj yang didakwa sebagai cerita yang diperbesar-besarkan oleh pengikut Nabi Muhammad SAW atas ketaksuban kepada Baginda SAW dan bukanlah benar-benar berlaku.

Kita akan balas satu-persatu pandangan ini.

Berkaitan penggunaan akal dalam penentuan hukum, satu perkara yang harus kita fahami ialah kemampuan akal manusia terbatas. Walaupun dengan segala kelengkapan teknologi manusia di dunia, manusia  masih tidak mampu mencipta walau seekor lalat pun. Firman Allah SWT:
Maksudnya:  Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya). (Al-Haj 73)

Maka bagaimana mereka boleh mengatakan pandangan akal manusia lebih utama berbanding Nas? Seolah-olah mereka mengatakan akal manusia ini lebih bijak dari Allah SWT Yang Maha Bijaksana?

Islam menggalakkan manusia untuk mengkaji dan menajamkan akal fikiran. Dalilnya:

الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها فهو احق بها
Maksudnya: Kebijaksanaan itu barang yang hilang dari Mukmin, maka sesiapa yang menemuinya maka dialah yang lebih berhak terhadapnya. (Riwayat At-Tirmidhi)

Namun, Islam menetapkan akal hendaklah dipandu dengan Nas Al-Quran dan As-Sunnah. Tiada pertembungan antara Nas Al-Quran dan As-Sunnah dengan pandangan akal yang bijaksana. Segala pandangan akal yang bertentangan dengan Nas ialah pandangan akal yang cetek atas keterbatasan pengetahuan manusia.

Liberalis juga menolak mukjizat yang tidak masuk akal seperti peristiwa Isra Mikraj. Persoalannya, aspek mana dalam mukjizat itu yang tidak masuk akal?

Jika mereka mengatakan bahawa mukjizat itu mustahil secara fizik, tanyakan kepada mereka adakah Allah SWT yang mengikut aturan fizik, atau aturan fizik itu yang mengikut Allah SWT? Adakah bagi mereka, Allah SWT tertakluk kepada hukum Fizik? Sedangkan Allah SWT yang mencipta seluruh alam semesta, dan Allah SWT juga yang mencipa fenomena-fenomena Fizik yang kita temui? Adakah mereka meragui Kuasa Allah SWT?

Liberalis kononnya mendakwa mereka ialah golongan bijak pandai yang menggunakan pemikiran mereka. Hakikatnya, merekalah yang bodoh kerana akal mereka terbatas. Mereka hanya mampu memahami Islam dalam konteks dunia fizikal yang kita diami semata-mata, tetapi mereka tidak mampu menerima dan memahami konsep Alam Ghaib yang diajarkan Islam. Walaupun dinamakan Liberal (Kebebasan), hakikatnya merekalah yang sebenarnya terkongkong dan tidak mampu memahami walau Konsep asas dalam Akidah Islam.

3-Kesamarataan semua manusia

Liberalis memperjuangkan kesamarataan antara semua manusia, tidak kira agama atau jantina. Atas prinsip ini, Liberalis menolak Hukum Islam berkaitan pewarisan kepada wanita atas alasan bahawa ia tidak adil. Begitu juga, mereka menolak konsep poligami. Mereka membenarkan wanita menjadi Imam solat bagi lelaki Baligh, dan menolak pemakaian Hijab untuk wanita.

Harus difahami, kesamarataan bukan keadilan. Contohnya, anda mempunyai dua orang anak lelaki, Ahmad yang sedang menuntut di Universiti dan Abu yang masih di tadika. Atas prinsip kesamarataan, anda membahagikan wang saku untuk perbelanjaan mereka berdua sama rata. Maka, oleh kerana Abu diberi RM 2, maka Ahmad juga harus mendapat RM 2. Adilkah? Sudah pastinya tidak.

Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dalam situasi Abu & Ahmad tadi, tidak adil Ahmad hanya mendapat RM 2 sedangkan perbelanjaan penuntut Universiti sudah pastinya lebih tinggi dari seorang budak tadika. Maka, Seharusnya Ahmad mendapat nilai yang sesuai dengan keadaannya, manakala Abu juga sesuai dengan keadaannya.

Beginilah indahnya keadilan dalam Hukum Islam. Meletakkan lelaki di tempatnya yang paling sesuai, dan wanita di tempatnya yang paling sesuai.

Jangan lupa! Islam menetapkan lelaki menerima harta warisan 2 kali ganda berbanding wanita, tetapi lelaki juga diwajibkan menyara keluarganya, sedangkan wanita tidak dibebankan dengan perkara sedemikian. Islam meletakkan lelaki sebagai keutamaan menjadi Imam dalam solat dan pemimpin negara, dalam masa yang sama juga meletakkan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di Akhirat kelak. Lelaki diuji dengan Nafsu Syahwat yang lebih buas berbanding wanita, maka secara logiknya wanita harus menutup kecantikannya supaya syahwat lelaki lebih terkawal. Akhirnya Allah SWT akan menghitung segala amalan kita, dan kita akan dapati bahawa Allah SWT Maha Adil dalam menghitung setiap dari kita tidak kira jantina sesuai dengan apa yang Allah SWT uji ke atas kita.

KESIMPULAN

Pada tahun 2006, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal-Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa aliran pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.

Liberalis mengaku mereka adalah Muslim yang moden, progresif dan tidak terbelenggu. Ini hanyalah satu lagi bentuk kesesatan yang dihiaskan dengan nama-nama yang indah agar Ummat Islam tersesat. Mudah-mudahan Allah SWT menjauhkan kita dari kesesatan ini.

Maksudnya: 
6. Tunjukilah kami jalan yang lurus.
7. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
(Al-Fatihah:6-7)

Wallahua’lam...

Rujukan:
1-Laman web E-Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/aliran-pemikiran-liberal-hukum-dan-implikasinya-kepada-islam-di-malaysia 
2-Kitab Risalah At-Taalim oleh Sheikh Muhammad Abdullah Al-Khatib
3-Wikipedia.org http://ms.wikipedia.org/wiki/Gerakan_liberalisme_dalam_Islam#Isu_kontroversi
http://en.wikipedia.org/wiki/Liberalism#Philosophy
4-Hasil tulisan dan ceramah Sheikh Ahmed Deedat dan Dr Zakir Naik.

No comments:

Post a Comment